Penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang berlangsung pagi ini menandakan bermulanya kempen dan gerak kerja terakhir parti-parti politik dan personaliti yang memimpinnya, daripada parti kerajaan atau pembangkang, dalam menentukan bentuk kerajaan yang bakal memerintah negara selepas hari mengundi 9 Mei 2018.

Dalam penamaan calon itu, parti-parti politik menampilkan wajah pemimpin dan aktivis parti yang akan menjadi pertaruhan sepanjang persaingan untuk memenangi 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Proses demokrasi yang akan dilalui itu tinggi kosnya. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan perbelanjaannya mencecah RM500 juta termasuk untuk menampung kos sewaan, memperoleh peralatan, pembayaran elaun dan ia akan dibantu 250,000 petugas sementara.

Penuh drama

Sejak berakhirnya PRU-13 pada 5 Mei 2013, kempen-kempen politik menuju ke PRU-14 yang bakal diadakan pada 9 Mei 2018 telah pun berlangsung dengan penuh drama hampir setiap hari, setiap malam.

Isu-isu yang muncul dalam PRU-14 adalah isu-isu yang telah pun bertahun-tahun diperkatakan. Oleh kerana sifatnya adalah politik, ia bercampur baur antara fakta, pandangan, kecaman serta kadangkala fitnah dan berita tidak benar.

Kira-kira 14.9 juta pengundi berdaftar di Malaysia kini berdepan dengan pilihan yang mencabar pada pilihan raya yang kempen-kempennya antara yang paling dramatik.

Pilihan raya kali ini adalah pilihan raya yang berstrategi.

Barisan Nasional (BN) bertanding sebagai sebuah gagasan politik sama yang Malaysia kenali sejak tahun 1974, dan sebelum itu sebagai satu gabungan di bawah Perikatan sejak negara merdeka.

Persaingan antara dua parti iaitu faktor tunggal yang parti-parti pembangkang rasakan dapat mengalahkan BN tidak menjadi kenyataan pada PRU-14.

Di Semenanjung, pilihan raya kali ini adalah pilihan raya tiga parti antara BN, Parti Islam SeMalaysia (Pas) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tiga buah parti pembangkang, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah) bersetuju bergabung menggunakan satu logo sahaja iaitu logo PKR dalam setiap kerusi Parlimen dan DUN yang mereka pertandingkan.

Pertandingan tiga parti besar dengan tiga logo di Semenanjung ini menjadi dinamik baharu politik Malaysia.

Keputusan stategik

Pucuk pimpinan BN telah mengambil keputusan strategik dalam membentuk hubungan tidak saling menyerang antara BN dan Pas.

Kelihatannya sepanjang kempen PRU-14 musuh bersama BN dan Pas ialah PKR.

Malah ada pengkaji mendakwa persaingan tiga parti itu mungkin menghasilkan kesan yang tidak disangka. Ia boleh menyebabkan Pas kehilangan kuasa di Kelantan selepas mentadbir negeri itu sejak tahun 1990.

Kempen-kempen yang akan berlangsung bermula hari ini merupakan rutin pilihan raya.

Peluang berkempen itu membolehkan calon-calon parti yang bertanding menjelaskan kepada para pengundi mengenai polisi-polisi parti dan menjawab tohmahan-tohmahan politik.

Semua calon itu dibantu oleh rangkaian skrip kempen yang telah dipersetujui oleh parti-parti. Calon yang menang biasanya berkempen secara berdisiplin, mengelak daripada melakukan kesilapan-kesilapan dan tidak bersikap individualistik.

Pengiklanan bagi tujuan pemasaran politik dalam pilihan raya semakin berlambak sekarang khususnya melalui media sosial.

Dengan semua pengundi memiliki telefon pintar, tidak ada orang boleh bersembunyi daripada serangan-serangan pengiklanan politik.
Dalam tempoh berkempen ini, adalah mustahak untuk semua calon menilai mood pengundi.

Poster dan penyiaran mesej-mesej pilihan raya juga amat membantu tetapi ia bukan segala-galanya. Teknik pemasaran politik telah menjadi begitu canggih.

Perbezaan antara kekalahan dan kemenangan calon-calon yang bertanding terletak pada motivasi ahli-ahli politik yang menganggap usaha mereka sepanjang tempoh berkempen akan memberikan keputusan yang berbeza.

Tanpa usaha yang sistematik dan sokongan akar umbi, mereka mungkin ketinggalan.

Para pengundi di Malaysia mempunyai tingkah laku mengundi yang unik, yang berbeza dari sebuah kawasan ke sebuah kawasan. Cara mereka melihat pengurusan ekonomi dan standard kehidupan di sekeliling banyak mempengaruhi pola pengundian.

Memandangkan PRU-14 diadakan selepas kita menyaksikan kempen politik tidak henti-henti berjalan sejak tahun 2013, adakah liputan politik yang terlalu banyak dalam akhbar, televisyen, papan iklan, Facebook, YouTube, WhatsApp, Twitter dan Instagram akan melahirkan pengundi yang telah keletihan sekarang ini?

Keputusan siapa menang dan kalah pada malam pengiraan undi nanti bakal disumbangkan oleh sejauh mana kesan kempen-kempen bersemuka dan ceramah-ceramah bermula hari ini. Berapa banyak huluran salam calon yang bersambut menentukan nasib masing-masing.

Mengukur kesan kempen dan memberi respons kepada apa yang berlaku dalam kempen perlu dibuat setiap minit, jam dan hari. Mood nasional mungkin memberi impak kepada mood di peringkat tempatan.

Pada zaman ini, calon-calon pilihan raya yang duduk diam sahaja, walaupun berapa besar nama mereka, mungkin akan bertembung dengan tragedi dalam PRU-14 pada 9 Mei depan. Tiada masa untuk mereka berehat dalam tempoh 11 hari akan datang tidak kita apa status masing-masing dalam politik.