Ia juga boleh berlaku tanpa sedar dan di luar kawalan tanpa mengenal sama ada kita seseorang yang berpangkat, berpelajaran, latar belakang agama, usia mahupun bangsa.

Peribahasa ada berkata, hati orang yang bodoh itu di mulutnya, dan lidah orang yang cerdik itu di belakang hatinya yang membawa maksud orang bodoh berbicara tanpa perhitungan, orang pandai berfikir sebelum berkata-kata.

Mengambil contoh bebe­rapa insiden yang berlaku dalam media sosial baru-baru ini, perihal bodoh itu jelas kelihatan apabila seseorang itu tidak berfikir sebaiknya sebelum bertindak melampaui batasan sehingga mengaibkan diri sendiri.

Kes pertama dilaporkan pada 10 Oktober lalu apabila seorang juruwang tempat letak kenderaan dibelasah individu didakwa bergelar “Datuk” gara-gara enggan membayar caj parkir hotel berjumlah RM3.

Mangsa berusia 31 tahun diserang suspek selepas enggan membuka palang tempat letak kenderaan tersebut dan akhirnya insiden itu telah mencetus kemarahan dalam kalangan netizen.
Kejadian yang didakwa sebagai satu tindakan bodoh itu kemudian menjadi tular dan rata-rata warga maya mengecam tindakan “Datuk” itu yang dikatakan langsung tidak wajar kerana bertindak sedemikian.

Kes itu dilihat kembali tenang selepas berlaku satu pertemuan antara kedua-dua individu terbabit bagi menjernih­kan keadaan.

Selepas itu tular satu kejadian seakan-akan serupa dan ia berlaku di sebuah stesen mi­nyak apabila seorang pekerja pam lebam di muka akibat dipukul hanya dek kerana tersalah memberi jenis minyak petrol yang dikehendaki.

Dalam kejadian pada 6 Oktober lalu di Sungkai, Perak, mangsa berusia 23 tahun itu didatangi sekumpulan penunggang motosikal yang mahu mengisi minyak RON97, namun tersalah dengan memberikan jenis RON95.

Tindakan salah seorang kumpulan penunggang itu yang dilihat bodoh pada kaca mata netizen sekali lagi menjadi perdebatan dan berakhir dengan penahanan dua individu untuk membantu siasatan.

Suspek yang masing-ma­sing berusia 40 dan 25 tahun ditahan dan direman pihak polis selepas dua rakaman televisyen litar tertutup berdurasi 42 saat dan satu minit 27 saat tersebar dalam media sosial.

Kelmarin, Mahkamah Majistret Tapah mendenda RM2,000 terhadap tertuduh berusia 25 tahun selepas me­ngaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mencede­rakan seorang pekerja stesen minyak tersebut manakala rakannya telah dilepaskan dengan jaminan polis.

Agak pelik bila difikirkan hanya kerana RM3 dan tersalah jenis minyak sehingga boleh menimbulkan kejadian sedemikian rupa.

Buat kita yang melihat sememangnya akan melontarkan pelbagai rasa yang difikirkan wajar pada ketika itu dan menghentam tindakan itu seolah-olah kebodohan itu 100 peratus milik suspek dalam kejadian tersebut.

Apabila membaca pelbagai komen yang diberikan, sebenarnya kebodohan itu milik diri sendiri kerana apa kurangnya kita jika melontar pelbagai kata-kata kesat dan perkataan yang kurang enak dibaca.

Media sosial ini sebenar­nya boleh dijadikan platform dalam mendidik diri kita menjadi insan lebih baik dan bukan menuding jari apabila melihat sesuatu yang difikirkan tidak wajar berlaku.

Disiplinkan diri kita dan tolong jangan membodohkan diri sendiri dalam media sosial kerana komen itu sendiri boleh menyusahkan hidup sekiranya ia keterlaluan.

Apa jua kita lakukan di alam maya, tanam dalam diri sendiri bahawa bodoh itu milik kita dan berhati-hati supaya ia tidak memakan diri sehingga sampai satu titik tiada lagi pusingan U boleh dilakukan.