Hal ini kerana, pengalaman lepas banyak mengajar wanita berusia 29 tahun itu untuk lebih berhati-hati.

Sebelum ini Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz pernah melalui episod duka apabila perancangannya untuk mendirikan rumah tangga bersama seorang jejaka yang dirahsiakan identitinya tidak menjadi.

Ikuti penjelasan daripada pelakon drama Cik Cinderella dan Encik Tengku itu ketika ditemui pada sidang akhbar Festival Gegar Gempak Raya (GGR2019) 2019 baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh kongsikan tentang penglibatan anda dalam GGR2019?

ZULIN AZIZ: Ini merupakan pengalaman pertama saya terlibat dalam festival jualan sempena Ramadan dan Aidilfitri. Saya menjual sambal bilis dan beberapa produk lain. Sebenarnya sebelum ini ramai rakan-rakan mengajak untuk berniaga, tetapi saya takut kerana tidak cukup ilmu. Bagi saya sebelum memulakan perniagaan kita perlu mempunyai belajar dan timba ilmu terlebih dahulu.Alhamdulillah, sekarang ada rakan perniagaan yang boleh membantu.

Bagaimanakah perjalanan karier anda selepas berhenti daripada stesen radio Suria FM?

Saya makin bebas kerana lebih banyak masa. Ketika bekerja di radio, pergerakan karier saya terbatas kerana ada sekatan tertentu. Sekarang tidak lagi dan saya bebas untuk lakukan apa sahaja. Maknanya, saya sudah dapat kembali kebebasan yang pernah disekat dahulu. Cuma itu bukanlah sebab kenapa saya keluar dari stesen radio tersebut. Saya sangat memahami konsep dan peraturan setiap stesen radio tidak akan memutarkan lagu penyampai stesen radio lain. Cuma saya ambil keputusan berhenti menjadi penyampai radio kerana terikat dengan banyak komitmen di luar.

Apakah fokus anda sekarang selain menyanyi?

Sebenarnya karier saya lebih terarah ke platform media sosial. Saya banyak komitmen di situ, antaranya bergelar duta untuk produk Maggi. Jadi, saya perlu untuk memuat naik video masakan. Bukan mudah untuk menghasilkan video masakan, tetapi perkara itu tidak menjadi halangan kerana saya memang minat memasak. Sungguhpun begitu, saya akui perlu membuat kemunculan di televisyen paling tidak tiga buah karya kerana bimbang peminat lupa pada saya.

Disebabkan kerap dilihat menyanyikan lagu sedih anda telah dilabel sebagai seorang yang terdesak untuk mencari jodoh selepas perancangan perkahwinan tidak menjadi. Apakah komen anda?

Jika diikutkan, ramai sahaja penyanyi di luar sana yang membawakan lagu cinta, tetapi kenapa mereka tidak dilabel sebegitu? Saya akui mungkin disebabkan ada sejarah lama kecewa dengan cinta secara tidak langsung memperlihatkan saya seperti terdesak. Namun, normal untuk penyanyi mendendangkan lagu sedih. Lagipun jenis suara saya memang sesuai untuk lagu bernada sedih.

Bagaimana dengan kehidupan peribadi, sudahkah anda bertemu dengan pengganti

Jodoh jangan dicari, biarlah ia datang sendiri. Kalau boleh, saya tidak mahu menjawab soalan jodoh atau cinta sebab nanti orang melabelkan saya terdesak lagi (ketawa). Apa yang saya mampu katakan, doakanlah yang baik-baik. Mungkin suatu hari nanti, tahu-tahu saya sudah berkahwin.

Maksudnya adakah anda ingin berkahwin secara senyap-senyap?

Sebabnya saya takut. Sebelum ini sudah terjadi, jadi saya fikir kalau jodoh sudah sampai nanti, terus kahwin sahaja. Tidak perlu untuk diheboh-hebohkan lagi seperti sebelum ini. Sebab kisah lama bukan memberi kesan kepada saya seorang, tetapi keluarga juga turut menanggung malu. Pendek kata, saya mengambil iktibar daripada kisah lepas untuk tidak mengulangi perkara yang sama sekali lagi.