Selain bertindak sebagai pengarah, Zul Huzaimy juga akan meneruskan lakonan untuk watak mat motor samseng yang cukup ikonik dalam filem Remp-It 2 yang bakal memulakan penggambaran sekitar bulan depan.

Kini setelah 13 tahun berlalu, Zul Huzaimy yang juga pelakon dalam filem tersebut menyahut permintaan ramai yang ingin melihat sekuel filem berkenaan dibikin semula.

Sedar menerbitkan dan mengarah filem dengan judul Remp-It 2 bukan tugas yang mudah, Zul Huzaimy bagaimanapun bersedia untuk berdepan pelbagai kritikan.

Giat mendapatkan persetujuan beberapa watak untuk Remp-It 2, Zul yang turut menjayakan watak sebagai Spark dalam versi terdahulu sedang mencari calon pelakon untuk watak utama filem itu bagi menggantikan karakter Madi lakonan asal Farid Kamil.

Ikuti perkongsian dan harapan Zul Huzaimy bersama Kosmo! mengenai projek Remp-It 2 yang bakal diterbitkan oleh Brightstar Pictures Sdn. Bhd. itu ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO!: Lama kelibat Zul tidak kelihatan dalam drama televisyen dan majlis-majlis hiburan, ke manakah anda menghilangkan diri?

Zul Huzaimy: Saya tidak hilang, masih ada dalam industri cuma saya tidak lagi terbabit aktif sebagai pelakon. Sebaliknya, saya fokus dalam bidang pengarahan dan penulisan skrip.

Selain itu, saya juga baharu menamatkan pengajian selama dua tahun di Universiti Lim Kok Wing. Alhamdulillah saya berjaya menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Filem Digital dan Televisyen.

Sepanjang dua tahun itu, saya kurangkan penglibatan dalam aktiviti seni demi menumpukan tumpuan terhadap pengajian.

Kali terakhir anda tampil sebagai pelakon dan pengarah menerusi telefilem Bayang di TV3. Adakah terdapat projek baharu selepas ini?

Ya sudah tentu. Saya sedang menumpukan sepenuh perhatian menghasilkan filem sekuel Remp-It dengan tajuk Remp-It 2. Impak daripada Remp-It yang pertama sangat kuat sehinggakan peminat masih bertanya mengenai sekuel filem ini.

Saya sendiri akan terbabit dalam filem ini meneruskan watak Spark dan bertindak sebagai pengarah. Terdapat pelbagai kelainan yang akan diketengahkan dalam sekuel filem itu nanti.

Permintaan terhadap filem permotoran jalanan ini tinggi. Jadi saya tidak mahu melepaskan peluang dan akan memastikan filem ini berjaya.

Apakah antara kelainan yang dijanjikan menerusi sekuel Remp-It?

Babak akhir filem Remp-It meninggalkan pelbagai persoalan kepada umum. Ramai ingin tahu selepas Madi meninggal dunia, apakah yang terjadi kepada pengikutnya.

Bagaimana pula pengakhiran watak Spark selepas seterunya meninggal dunia. Peminat akan menemui kesemua jawapan terhadap setiap persoalan itu dalam filem Remp-It 2.

Saya juga sedang giat mendapatkan persetujuan watak-watak terdahulu untuk membuat kemunculan dalam sekuel filem ini, selain mencari pengganti watak Madi.

Adakah pembikinan sekuel filem ini terganggu susulan hukuman penjara yang sedang dihadapi Farid Kamil?

Tidak. Seluruh produksi turut bersimpati dengan insiden yang menimpa Farid. Namun, ketiadaan Farid tidak mengganggu jalan cerita filem Remp-It 2.

Jika kita imbau kembali, Madi telah meninggal dunia dalam filem terdahulu. Namun, kami ingin mencari pelakon yang setanding dengan Farid untuk terlibat dalam filem ini.

Filem Remp-It versi pertama diarahkan oleh Ahmad Idham dan diterbitkan oleh MIG Production. Adakah wujud sebarang masalah pemilikan hak cipta?

Alhamdulillah, semua isu tersebut diselesaikan. Saya juga secara peribadi telah bertemu dengan Ahmad Idham untuk memohon izin daripadanya untuk membikin sekuel filem ini.

Abang Idham menyambut baik cadangan kami dan memberikan sokongan penuh. Saya juga berbesar hati dapat menyampaikan hasrat ini kepadanya secara bersemuka.

Saya difahamkan isu hak cipta juga telah selesai. Kami bercadang memulakan penggambaran sekitar Julai depan.

HIB QNA ZUL HUZAIMY