Sebaliknya, Zul berkata, dia sudi melakukan tugas promosi secara percuma memandangkan perkongsian hasil kerja di media sosial dapat memperluaskan lagi pengaruh naskhah lakonannya dalam kalangan peminat dan khalayak umum.

“Apabila kita berkongsi hasil kerja di Instagram, secara automatik, peminat akan menyedari hasil kerja kita. Saya rasa, pelakon tidak perlu berkira kerana kita sendiri yang akan dapat manfaatnya.

“Tambahan pula, banyak medium yang ada untuk mempromosikan produk dengan lebih cepat dan berkesan. Saya juga tidak kisah jika diminta turun padang dan mempromosikan naskhah lakonan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Sangkar di ibu kota baru-baru ini.

Melihat usaha tersebut sebagai cara untuk terus mendekatkan diri dengan peminat, Zul turut menegur sikap segelintir pelakon yang hanya memikirkan keuntungan peribadi.

“Saya sedar ada sebilangn pelakon yang berkira jika diminta mempromosikan lakonan mereka di Instagram.

“Mengapa terlalu berkira, sedangkan mereka juga terbabit dalam produksi yang mahu dipromosikan itu,” katanya yang turut melihat keterbukaan untuk mempromosi drama atau filem sebagai cara untuk menjaga hubungan jangka panjang dengan pihak produksi dan stesen televisyen. - K! ONLINE