Ketika menerima perkhabaran tersebut, hati lelakinya mengusung sebak, tatkala harus menerima hakikat bahawa insan yang selama ini menjadi gawang semangat untuk dirinya meneruskan kelangsungan hidup hilang dari sisi.

Tidak seperti hari-hari sebelumnya, tiada lagi tutur bicara dari bibir seorang wanita yang selalu memberikannya kata-kata pedoman, apatah lagi bahu yang boleh dijadikan sendalan tatkala diri ditimpa musibah.

Begitulah lara yang meribut dalam jiwa pelakon drama Rindu Awak 200% itu sepanjang tiga bulan kebelakangan ini.

“Berbual dengan arwah ibu merupakan rutin harian saya. Apa sahaja tentang karier atau masalah yang dilalui, saya akan menghubunginya untuk berbual.

“Kini, semuanya telah berubah. Jujur, saya sangat terkesan dengan pemergian ibu,” ujar Zul ketika ditemui pada majlis pengumuman Top 5 Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME2018) Di Timbre @ The Row, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kehilangan

Berkongsi tentang keadaan dirinya, Zul mengakui banyak berdebat dengan diri sendiri terutama sewaktu cuba untuk membuang perasaan sebal dalam hatinya agar tidak terus bercambah menjadi sebuah tunas depresi.

“Orang nampak saya tersenyum dan ketawa. Orang juga nampak saya bersemangat untuk bekerja tetapi ramai yang tidak tahu apa yang saya rasa.

“Namun, menerusi cara ini sahaja saya mampu untuk menghilangkan rasa sedih yang dialami,” kata Zul yang masih menyimpan senaskhah al-Quran milik ibunya sebagai tanda ingatan.

Biarpun enggan terus berduka, Zul bagaimanapun pasrah dan reda dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah.

“Lama-lama berendam air mata pun tidak guna. Terlebih meratap juga boleh menyebabkan saya mengalami kemurungan.

“Namun, kehidupan tidak bermakna seperti dulu. Saya tidak lagi teruja dengan kedatangan bulan Ramadan mahupun Hari Raya Aidilfitri kelak. Mahu balik kampung pun tidak tahu untuk jenguk siapa,” luah Zul dalam nada sayu.

Ditanya mengenai perkara terakhir yang dibualkan oleh mereka berdua, Zul berkata, dia pernah berjanji untuk membawa arwah ibunya terbang ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah.

“Sepatutnya kami pergi umrah bulan Januari lalu. Namun, sebelum ibu saya meninggal, dia sudah mula sakit.

“Jadi, saya berjanji kepada arwah ibu untuk membawanya ke Dubai terlebih dahulu untuk berehat sebelum menunaikan umrah.

“Bagaimanapun, hasrat saya tidak kesampaian. Allah lebih menyayanginya,” katanya lagi.

Ditebak adakah dia akan terus berkabung mengingati ibunya, ini jawapan Zul.

“Biarlah masa menentukan,” katanya jujur.

Profesional

Beralih pula pada perihal kerjaya, pelakon berusia 32 tahun itu baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri terbaharu, Ti Amo Sweetheart 100 Hari di Rom, Itali.

Membawa watak utama, Isaac Iskandar, Zul menjelaskan bahawa dia tidak mengalami masalah sepanjang menjalani penggambaran drama rantaian adaptasi novel berjudul sama itu.

Malah tambah Zul, penggambaran yang sepatutnya berlangsung untuk tempoh masa tiga minggu itu berjaya dilunaskan hanya dalam 15 hari sahaja.

“Ketika di Itali, kami berjaya habiskan proses penggambaran dalam masa 10 hari. Sementara hanya lima hari diperuntukkan untuk penggambaran di sekitar ibu kota.

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah. Pelakon-pelakon yang terlibat juga memberi komitmen yang cukup baik sepanjang berada di lokasi penggambaran,” katanya.

Biarpun produksi Ti Amo Sweetheart 100 Hari berjalan dengan lancar menurut sudut pandang Zul, namun lain pula yang berlaku di media sosial.

Perdebatan peminat sudah mula kelihatan ketika pengarah Michael Ang memuat naik gambar berpelukan antara Zul dan heroinnya, Neelofa dalam Instagram.

Hal ini mengundang kritikan negatif banyak pihak memandangkan Neelofa merupakan seorang pelakon wanita berhijab yang menutup aurat.

Diminta untuk mengulas mengenai situasi berkenaan, Zul hanya memberi jawapan selamat, meletakkan kritikan peminat sebagai sesuatu yang berada di luar kawalannya.

“Apa yang telah dimuat naik tempoh hari adalah gambar belakang tabir dan saya tidak mempunyai hak untuk mengawal keadaan tersebut.

“Begitu juga dengan komen-komen yang ditinggalkan oleh pengguna media sosial. Saya hanya mampu untuk membaca sahaja.

“Jika selepas penggambaran pengarah melihat adegan tersebut keterlaluan dan tidak sesuai untuk dipertontonkan, mungkin ia boleh dipotong,” tegasnya.

Dalam pada itu, Zul turut meletakkan bidang lakonan sebagai punca rezeki utamanya, yang dirasakan tidak perlu untuk mencampurkan soal peribadi untuk tatapan dan bual bicara umum.

“Setiap pelakon mempunyai polisi tersendiri ketika menjalani proses penggambaran. Baik saya mahupun Neelofa, kami mempunyai batas-batas tertentu ketika sedang berlakon.

“Kami hanya akan menjadi watak yang dipertanggungjawabkan ketika berada di set penggambaran. Selesai kerja, kami kembali menjadi diri sendiri,” katanya lagi.

Bertanding

Bercakap mengenai karier, Zul teruja apabila namanya tercalon menerusi AME2018 yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 8 April depan.

Ujar Zul, dua pencalonan yang diterima bagi kategori Bintang Filem MeleTOP bukan sahaja untuk pencapaian diri tetapi bagi dua naskhah filem yang dibintanginya iaitu J Revolusi dan Tombiruo: Penunggu Rimba.

“Alhamdulillah, pencalonan ini bukan untuk saya seorang. Ia merupakan kejayaan buat produksi dua filem ini untuk meletakkan karya mereka dalam kelas tersendiri.

“Sejujurnya, saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk pencalonan AME2018. Asalkan ia memberi saingan yang sihat pada industri, itu sudah memadai,” katanya yang bakal memasuki set penggambaran filem kesembilannya di bawah rumah produksi Skop Production.

 

kosmo

kosmo

kosmo

kosmo