Bermula dengan watak Jay Zulkarnain menerusi filem J Revolusi, kredibilitinya sebagai pelakon aksi terus diuji menerusi filem adaptasi novel, Tombiruo: Penunggu Rimba.

Tidak hanya cemerlang di atas kertas, penglibatan pemilik nama lengkap Zulkifli Ariffin itu turut mendapat maklum balas positif, khususnya dalam kalangan penggemar filem tempatan.

Terus mengembangkan portfolio seninya, Zul kini kembali dengan naskhah baharu berjudul Sangkar.

Berlainan dengan filem aksi yang pernah dilakonkan, naskhah arahan Kabir Bhatia tersebut menampilkan sisi berbeza Zul yang memegang watak sebagai peninju Mixed Martial Arts (MMA).

Ditemui pada majlis pelancaran filem berkenaan di ibu kota baru-baru ini, Zul mengakui teruja menantikan tayangan filem tersebut yang dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 29 Ogos depan.

Selain pertama kali menyaksikan sukan MMA diangkat ke layar lebar, idea penghasilan filem berkenaan juga merupakan buah fikiran Zul bersama rakannya, Saiful Reza.

Dalam masa yang sama, Zul turut berkongsi mengenai cabaran yang dilalui sepanjang sesi penggambaran dan kerjasama keduanya bersama Remy Ishak.

KOSMO!: Zul, benarkah idea asal bagi filem Sangkar datang daripada anda?

ZUL: Sebenarnya, idea penghasilan filem Sangkar ini datang daripada saya dan sahabat saya, Saiful Reza. Idea tersebut timbul apabila menyaksikan sukan MMA semakin berkembang di Malaysia.

Jadi, mengapa tidak kita hasilkan sebuah filem yang berpaksikan sukan tersebut? Kami berasa sangat gembira kerana produser bagi filem ini, iaitu Infinitus Gold dan rakan-rakan kolaborasinya, Primeworks Studios, Astro Shaw serta mm2 Entertainment menyambut baik idea kami.

Penerimaan baik ini sekaligus menunjukkan bahawa pelakon juga mempunyai peluang untuk memberikan idea dan diolah dijadikan sebuah naskhah filem.

Individu yang terlibat dalam sukan MMA biasanya dilihat mempunyai bentuk tubuh yang tegap. Jadi, bagaimanakah anda mempersiapkan diri bagi menjayakan filem tersebut?

Secara realistik, berat badan ideal bagi seorang peninju MMA adalah sekitar 120 kilogram. Agak mustahil untuk saya menambah berat badan sebanyak itu.

Maklumlah, saya tidak mempunyai masa yang banyak untuk membuat persediaan.

Tambahan pula, projek untuk Sangkar bermula selepas tamatnya penggambaran filem Misteri Dilaila.

Jadi, saya hanya berjaya mencapai berat 93 kilogram sahaja. Tetapi, asalkan tubuh saya nampak okey dalam skrin, itu sudah memadai.

Adakah anda mengalami kecederaan sepanjang menjalani penggambaran bagi filem berkenaan?

Tidak ada kecederaan parah tetapi kedua-dua lutut saya melecet kerana berlaku terlalu banyak pergeseran di lantai. Disebabkan hal itu, saya terpaksa membalut bahagian yang melecet tersebut sepanjang penggambaran.

Bagaimanakah pula dengan aksi lasak yang diketengahkan?

Ada beberapa babak yang kami lakukan secara betul-betul. Sebagai contoh, saya meminta Remy yang membawakan watak Johan untuk benar-benar memukul saya agar kami tidak perlu mengulangi babak berkenaan berkali-kali. Tetapi, perkara tersebut memerlukan persetujuan kedua belah pihak agar tiada yang berkecil hati.

Adakah ini merupakan kali pertama anda bekerjasama dengan Remy dalam sebuah filem?

Sebelum ini, saya pernah bekerja dengannya dalam filem Evolusi KL Drift 2. Ketika itu Remy sudah popular dan saya pula baru tiga bulan bergelar pelakon. Tidak sangka kami dipertemukan sekali lagi dalam filem ini. Jadi, rasa sangat istimewa dapat kembali bekerja dengannya.