rata-rata rakan media yang hadir berpendapat wajahnya berbeza daripada kebiasaan.

Zoey atau nama sebenarnya, Mohd. Hairey Azhar Abd. Rahman ketika diajukan soalan tentang sama ada dia melakukan ‘sesuatu’ terhadap wajahnya untuk tampak lebih berbeza, dia nampaknya lebih selesa untuk tidak mengiyakan atau menidakkan perkara tersebut.

Katanya, dia terima dengan hati yang terbuka andai orang ramai menuduhnya melakukan suntikan di wajah atau pembedahan plastik, namun bagi dirinya, lebih baik tidak memberikan komen lanjut tentang perkara itu.

Kosmo!: Apakah komen Zoey apabila ramai yang mendakwa anda melakukan sesuatu pada wajah kerana kelihatan begitu berbeza?

Zoey Rahman: Tuduhan tersebut sudah saya terima sejak lama dahulu dan sedikit pun tidak terguris dengan hal itu. Saya tidak mahu mengiyakan atau menidakkan tuduhan itu (buat muka). Terpulang kepada orang di luar untuk tuduh saya buat muka atau memancungkan hidung. Itu hak mereka. Apa yang saya tahu, ini badan dan muka saya, jadi saya berhak untuk lakukan perkara yang tidak memudaratkan kesihatan dan melanggar hukum syarak. Cucuk vitamin C, saya kira sudah biasa buat semua orang. Saya juga menggunakan produk keluaran sendiri iaitu Mikaseries untuk kelihatan seperti sekarang.

Jadi, adakah anda mengaku telah melakukan sesuatu pada wajah?

Saya tidak mahu bercerita lebih tentang perkara itu. Itu hal peribadi yang saya rasa lebih baik disimpan sendiri. Bagaimanapun pada zaman sekarang ini, kalau ada duit sesiapa sahaja boleh buat apa yang mereka suka dengan rupa paras masing-masing. Buat muka sudah seperti menjadi trend fesyen dalam kalangan masyarakat bukan sahaja di luar negara, malah orang kita sendiri. Sebagai seorang lelaki, saya sangat mengutamakan penjagaan wajah dan keterampilan diri. Kalau tidak bagus dalam menjaga hal itu, orang pun sukar untuk dekat. Jika ingin pergi temuduga pekerjaan baharu pun, kita perlu kelihatan segak dan berkeyakinan.

Baiklah, bagaimana pula dengan perkembangan kerjaya lakonan anda?

Alhamdulillah, saya baru sahaja habis penggambaran untuk drama Suamiku Mr. Blind tayangan Hypptv. Dalam pada itu, projek drama untuk Astro Ria berjudul Puteri Yang Ditukarkan bakal menyusul tidak lama lagi. Lakonan masih berjalan seperti biasa, tetapi bidang perniagaan kini menjadi fokus utama saya.

Perniagaan produk seluar dalam Mikawear Boxer sedikit mencetuskan kontroversi, apa komen anda?

Pertama sekali, saya mohon maaf kalau ada dalam kalangan orang di luar sana yang terguris atau terasa hati dengan penggunaan model Mikawear Boxer yang dianggap tidak sensitif terhadap masyarakat. Saya menjual pakaian dalam lelaki dan memang menjadi tugas model-model menggayakan produk menonjolkkan produk keluaran syarikat saya. Jual seluar dalam mustahil pakai seluar ketat. Terpulang kalau orang ingin terus mencaci, tetapi saya hanya mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.

Bagaimana dengan penglibatan anda untuk Mood Republik tahun ini?

Tahun ini lain sedikit kerana saya bakal menjual baju Melayu iaitu Teruna by Zoey Rahman. Terdapat 10 warna yang berbeza untuk dijual di Mood Republik tahun ini. Sebanyak 10,000 pasang yang sudah disiapkan dan menunggu untuk dijual di festival terbesar Aidilfitri tahun ini. Dalam pada itu, produk lain seperti Boy De Mikaseries, Mikawear akan turut dijual di festival yang sama.