Bahkan, terdapat kumpulan-kumpulan rock, pop mahupun rap mengorak langkah dalam mengimbau nostalgia dengan mengadakan konsert berskala besar mahupun kecil buat peminat.

Tidak terkecuali penyanyi yang cukup sinonim dengan kumpulan Slam, Zamani turut menyimpan impian untuk mengubati kerinduan peminat menerusi agenda sama.

Ditemui pada majlis pelancaran Pakej Perkahwinan Eksklusif Wedding Studio Sdn. Bhd. di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam baru-baru ini, penyanyi berusia 47 tahun itu cukup teruja dengan perancangan konsert bersiri Slam dan Exist.

Pemilik nama lengkap, Zamani Ibrahim itu tidak menafikan terdapat perancangan yang sedang dilakukan untuk menggabungkan dua kumpulan tanah air, Slam dan Exists dalam konsert bersiri bagi mengimbau kenangan zaman kegemilangan buat semua.

KOSMO!: Apa khabar Zamani? Sudah lama tidak mendengar perkembangan seni? Boleh ceritakan sedikit tentang perjalanan seni anda?

ZAMANI: Alhamdulillah saya sihat. Mengenai perkembangan seni pula, saya masih aktif dalam lapangan seni. Bagaimanapun, buat masa ini, saya hanya memberi tumpuan kepada persembahan pentas dan memenuhi undangan nyanyian, lagipun saya tiada album ataupun single baharu untuk diketengahkan kepada khalayak.

Kebanyakan artis seangkatan anda telah melahirkan album ataupun single. Tidakkah anda teringin untuk mengikuti jejak mereka?

Bukan tiada perancangan tetapi saya ingin memberikan yang terbaik kepada seluruh peminat. Saya masih mencari material yang sesuai dengan diri dan muzik semasa.

Saya ingin melahirkan karya yang memberi kesan kepada peminat saat mereka memiliki single ataupun album baharu kelak.

Bagaimana pula dengan projek terbaharu anda dalam masa terdekat?

Insya-Allah, jika tiada aral melintang Slam dan Exists akan berpadu tenaga menjayakan konsert bersiri pada tahun ini bagi mengubat kerinduan peminat.

Kami perlu merancang dengan teliti kerana projek berkenaan melibatkan beberapa lokasi. Buat masa sekarang, antara lokasi yang dipilih termasuklah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Kemungkinan besar, kesemua ahli asal Slam dan Exists tidak ketinggalan menjayakan konsert ini. Saya berharap peminat mendoakan konsert berkenaan menjadi realiti dalam masa terdekat.

Berbalik kepada soalan peribadi, dalam usia mencecah 47 tahun, adakah anda tiada keinginan untuk mendirikan rumah tangga atau adakah sedang mempunyai teman istimewa buat masa ini?

Sudah tentu saya mempunyai keinginan untuk mendirikan rumah tangga seperti sahabat yang lain. Kalau tidak berkahwin nanti saya tiada zuriat, jadi itu suatu kerugian.

Begitupun, jodoh adalah ketentuan Ilahi. Biarpun usia telah lewat, saya tetap mahu berkahwin. Saya berharap perkahwinan tersebut akan berkekalan untuk selamanya.

Justeru, saya memerlukan masa untuk memikirkan perkara tersebut sebaik mungkin. Saya ada berkenalan dengan seorang wanita. Apabila sampai masanya kelak, saya akan memaklumkan kepada media dan peminat.

Bagaimana dengan kesihatan anda sekarang?

Sukar untuk saya ceritakan tentang tahap kesihatan saya. Saya tidak mahu peminat bersedih. Secara jujur, saya memang mempunyai masalah kesihatan yang serius. Doktor mengesahkan tulang belakang saya terlebih bengkok.

Saya perlu lalui juga kerana untuk melakukan pembedahan pada usia sebegini agar sukar. Harap peminat tidak risaukan keadaan saya.