Klise filem Melayu dengan bajet pembikinan rendah yang cuba menghidangkan teknologi CGI (imej janaan komputer) setaraf Hollywood, Zahiril mempunyai pendapatnya tersendiri tentang peranannya dalam Kron.

“Satu usaha yang baik daripada Opie bukan kerana saya berlakon dalam filem ini. Tidak ramai pengarah yang berani untuk buat filem CGI kerana kekangan bajet, tetapi Opie berani menyahut cabaran.

“Hollywood mungkin sudah terbang sampai ke langit. Kita boleh kejar sekiranya terus cuba melahirkan karya sedemikian.

“Banyak perkara yang boleh diperbaiki dalam Kron, namun saya gembira selepas tiga tahun akhirnya filem itu menemui peminat di pawagam,” kata pelakon filem One Two Jaga itu ketika ditemui Kosmo! pada acara pratonton filem Kron di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Zahiril, dia tetap berbangga ada usaha daripada pengarah tempatan menjayakan filem berbentuk pengembaraan seperti Jumanji dan Night At The Museum.

“Jauh lagi perjalanan kalau ingin dibandingkan dengan filem-filem Hollywood, namun satu percubaan yang berani daripada pengkarya tempatan biarpun bajet sangat terhad,” katanya. 


Tarikan

Mengulas tentang persetujuannya untuk memainkan peranan sebagai Sham dalam Kron, tanpa berselindung, Zahiril memberitahu dia telah termakan ‘rasuah’ apabila mengetahui akan bekerja dengan nama-nama hebat seperti Aman Graseka dan Ellie Suriati.

“Sejujurnya, saya berasa telah dirasuah apabila tahu tentang barisan pelakon yang terlibat dalam filem ini seperti Aman dan Ellie.

“Mereka berdua adalah antara pelakon yang sangat saya hormati dan sanjungi. Apapun penerimaan penonton nanti, saya tidak malu untuk turun mempromosikan filem ini walaupun elemen CGI masih banyak boleh diperbaiki,” jelasnya.

Disuakan pertanyaan tentang cabaran dan peluang bekerjasama dengan Dayana Roza, tutur Zahiril, ini adalah kali pertama mereka digandingkan dalam sebuah karya.

“Saya tidak pernah berlakon filem CGI sebelum ini. Banyak bermain dengan imaginasi dan emosi. Satu pengalaman yang seronok.

“Dayana seorang pelakon yang bagus. Dia sangat terbuka untuk belajar tentang perkara baharu dalam seni lakonan. Nasihat saya kepadanya, selepas ini dia perlu bersikap selektif dalam memilih karya dan juga pelakon gandingan,” kata Zahiril, 35.

Sibuk dengan aktiviti permainan video sejak kebelakangan ini, Zahiril menafikan ingin berhenti berlakon dan fokus terhadap e-sukan.

“Saya belum terfikir untuk berhenti berlakon cuma buat masa sekarang, saya agak selektif dalam pemilihan watak.

“Pada masa sama, saya sibuk melibatkan diri dalam e-sukan. Saya semakin sedar, dengan terlibat bermain video, kita juga boleh menjana pendapatan,” ujarnya. 


Cabaran

Memainkan peranan sebagai Suri dalam Kron, Dayana Roza atau nama lengkapnya, Nur Dayana Kamsun Baharin berkata, dia berdepan cabaran menjayakan watak tersebut.

Ujarnya, selain cabaran mental, dia juga berdepan cabaran dari segi fizikal.

“Watak Suri ini mencabar emosi saya. Orangnya pendiam, namun dalamannya kita tidak tahu dia bertarung dengan banyak perkara.

“Dari segi fizikal, saya perlu mendaki beberapa gunung di Kedah untuk menjalani penggambaran. Bangun waktu Subuh dan berkampung di dalam hutan dan puncak gunung.

“Mujur saya tidak berdepan sebarang gangguan makhluk halus kerana sebelum masuk hutan, kami semua sudah diingatkan supaya menjaga kata-kata dan tingkah laku,” katanya yang mendaki Gunung Jerai dan Gunung Pulai di Kedah untuk penggambaran filem.

Ditanya sama ada berpuas hati dengan hasil akhir filem berkenaan, Dayang berkata, dia tidak pernah puas untuk beri yang terbaik dalam semua karya lakonannya.

“Saya tidak pernah puas hati dengan filem-filem yang pernah dilakonkan.

“Menonton Kron membuatkan saya gementar kerana filem ini menjalani penggambaran tiga tahun lalu. Bagi saya filem ini tidaklah terlalu teruk walaupun banyak ruang boleh diperbaiki,” katanya.

Berpeluang bekerja dengan Zahiril, Dayana berbangga kerana dapat berlakon dengan pelakon hebat sepertinya.

“Ramai orang cakap Zahiril seorang pelakon metode, namun selepas bekerjasama buat pertama kali, saya dapati dia seorang yang sangat kelakar.

“Saya banyak belajar daripadanya dari segi lontaran dialog dan permainan emosi. Pelakon-pelakon lain yang terlibat juga memberikan komitmen dan kerjasama yang baik,” tuturnya.

Kron sebuah filem terbitan Opyglobal Pictures bakal ditayangkan di pawagam bermula 22 Ogos ini dan turut dibintangi oleh Aman Graseka, Ellie Suriaty serta Mamak Puteh.