Siapa sangka, tuah banyak menyebelahi pelakon berusia 23 tahun ini. Kehadirannya dalam lapangan seni cukup diterima baik. Bukan sekadar bersandarkan paras rupa semata-mata, sebaliknya pemilik nama sebenar Nur Zahirah MacWilson Zainol ini membuktikan dirinya benar-benar berbakat.

Dek bakat dan kecantikan yang dimilikinya itu jugalah yang membuatkan pelakon drama Cucu Tauke Beras ini mempunyai nilai pengaruhnya tersendiri. Buktinya, dia kini sudah memiliki hampir satu juta pengikut di laman sosial. Angka itu sahaja sudah berjaya membuktikan bahawa Zahirah sememangnya antara figura yang menjadi perhatian ramai.

Semestinya, darah seni yang mengalir dalam dirinya itu diwarisi daripada bapanya, Zainol Macwilson yang juga merupakan seorang pelakon yang mencipta nama sekitar era 1980-an. Menariknya, populariti bapanya itu kini beralih kepada dirinya pula.

Berlakon bersama bapa

Menurut Zahirah lagi, sejak daripada awal pembabitannya dalam lakonan, dia mempunyai impian untuk disatukan dalam mana-mana naskhah bersama bapa kesayangannya yang kini sudah mencecah usia 59 tahun. Bagi Zahirah sendiri, peluang berlakon bersama bapa sendiri sememangnya akan menjadi salah satu momen terindah dalam hidupnya.

Ini kerana, sekurang-kurangnya dia mempunyai kenangan manis bersama insan yang merupakan darah dagingnya sendiri yang mempunyai minat dan kecintaan yang sama dalam dunia seni. Apa yang pasti, hasrat graduan Universiti Curtin, Perth, Australia ini sudah menjadi kenyataan.

Disatukan dalam drama buat pertama kali, Zahirah bergandingan dengan bapanya menerusi naskhah berjudul Tak Ada Cinta Sepertimu yang disiarkan menerusi slot Mega Drama saluran Astro Ria.

“Sebenarnya selepas menerima tawaran dalam drama itu, saya yang mencadangkan kepada pihak produksi untuk menggunakan khidmat bapa saya untuk memegang watak ayah dalam cerita berkenaan. Bukan apa, sebolehnya saya mahu juga ada projek lakonan bersamanya.

“Saya mahu cipta memori dengan bapa sendiri. Satu hari nanti, mungkin apabila dia sudah tiada lagi, sekurang-kurangnya saya mempunyai sesuatu yang bermakna untuk dijadikan kenangan,” ceritanya kepada Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Menurut Zahirah lagi, bukan sekadar mencipta momen indah, baginya, pemilihan bapa sendiri dalam naskhah itu juga sebenarnya memberi kelebihan kepadanya untuk membawakan watak dengan lebih mudah.

“Jika bapa sendiri, nak menghayati watak itu akan jadi lebih senang. Maklumlah, ada beberapa babak yang memerlukan saya dukung, peluk dan mencium bapa. Jadi, apabila pelakon itu adalah bapa sendiri, ia tidak menjadi masalah buat saya,” kongsinya yang bergandingan dengan aktor Syafiq Kyle selaku hero dalam drama berkenaan.

Sebagai orang yang lebih berpengalaman, kata Zahirah, bapanya juga banyak memberi tunjuk ajar kepadanya untuk menjayakan satu-satu babak itu. Apatah lagi, kata Zahirah, drama terbitan Suhan Movies itu memerlukan dirinya banyak bermain dengan emosi.

“Cerita itu banyak menceritakan hal saya bersama bapa. Ia banyak babak menyentuh perasaan yang memerlukan saya bermain dengan air mata.

“Apabila banyak babak perlu menangis, tetapi air mata tidak boleh keluar, jadi bapa akan ada di set penggambaran untuk membantu saya. Dia menyuruh saya membayangkan sekiranya dia sudah tidak ada lagi untuk dapatkan mood sedih itu. Jadi, kami membantu antara satu sama lain untuk jayakan babak-babak yang penuh emosi,” ceritanya.

Kunci mulut soal cinta

Bukan sekadar soal di set sahaja, bahkan, di luar juga menurut Zahirah, bapanya juga banyak mempengaruhi dirinya termasuklah soal kehidupan peribadinya. Bukan mengongkong, sebaliknya kata Zahirah, dia percaya bahawa setiap apa yang dilakukan oleh seorang bapa adalah untuk memastikan kesejahteraan dan kebahagiaan anak-anaknya.

Justeru, biarpun pernah timbul cerita mengatakan bapanya tidak merestui hubungan cintanya bersama aktor Zul Ariffin, kata Zahirah, sebolehnya dia sudah tidak mahu ambil pusing hal tersebut. Baginya, dia percaya setiap tindakan itu pasti ada alasannya yang tersendiri.

“Bapa saya memang suruh saya fokus dengan kerjaya sebagai pelakon. Bahkan, kadang-kadang saya tengah kerja pun dia akan ingatkan agar saya terus fokus bekerja. Pada saya, dia mahu menjadi seorang bapa yang lebih prihatin terhadap diri saya,” kongsinya.

Atas sebab itu jugalah, kata Zahirah, sebolehnya dia tidak mahu lagi timbul cerita yang mengaitkan soal peribadi khususnya berkaitan cinta. Baginya, pada waktu inilah masa yang sesuai untuk dia fokus dengan dunia seni agar mampu terus bertapak dalam industri hiburan. Katanya, cukuplah dengan cerita-cerita kontroversi yang pernah mengaitkan namanya sebelum ini.

“Beberapa tahun kebelakangan ini, saya asyik terima soalan yang sama mengenai cinta. Tahun ini, saya tidak mahu ada lagi. Kalau orang lain nak cakap, biarlah. Saya sudah serik. Mahu fokus kerja sahaja. Saya kena lebih berhati-hati untuk berkongsi sesuatu perkara.

“Saya belajar daripada kesilapan. Di luar sana, akan ada sahaja netizen yang suka melontarkan komen-komen negatif. Kita buat baik atau jahat sekalipun, ada sahaja komen-komen negatif yang dilemparkan. Jadi, saya perlu lebih relaks dan menjadi lebih matang,” kongsinya.

Ditanya mengenai status hubungannya dengan Zul, kata Zahirah, biarlah perkara itu dalam pengetahuan dirinya sahaja.

“Saya tak mahu komen mengenai perhubungan. Apa yang saya boleh katakan, kami baik sahaja. Tidak ada gaduh. Lagipun, saya tidak boleh nak cakap lebih-lebih. Banyak hati yang perlu saya jaga kerana ia melibatkan banyak pihak,” kongsinya yang bakal menjalani penggambaran drama Jangan Benci Cintaku di Perth, Australia.

Dalam perkembangan lain, kata Zahirah dia merancang untuk muncul dengan sebuah filem pada tahun ini. Mengakui banyak menerima tawaran, namun, katanya, dia perlu bersifat lebih selektif.

“Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Kena tahu cara kerja produksi dan pemasaran yang akan dilakukan. Bukan apa, saya tidak mahu nanti filem itu baru masuk tayangan di panggung empat hari sudah ditarik semula. Kalau boleh biarlah yang boleh beri kesan kepada karier saya.

“Jika filem ditarik daripada tayangan, nama kita juga yang terpalit. Orang akan kata filem Zahirah tak jual,” katanya.