Menurut Zahirah atau nama penuhnya, Nur Zahirah Macwilson Zainol, baik barisan pelakon lain mahupun kru produksi, masing-masing enggan meletakkan sebarang harapan, apatah lagi keyakinan yang tinggi terhadap drama bersiri berkenaan.

“Ketika menjalani penggambaran drama ini, tidak ada seorang pun yang berani meletakkan sebarang sasaran terhadap sambutan yang bakal diterima.

“Bahkan, saya dan rakan-rakan artis lain risau jika naskhah ini tidak boleh pergi jauh,” kata Zahirah membuka bicara sewaktu ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta baharu Meeracle di ibu kota baru-baru ini.

Berpaksi pada kisah cinta tiga segi antara pasangan suami isteri iaitu Shah, lakonan Saharul Ridzwan dan Zahirah sebagai Rafeeqa Huda dengan orang ketiga, Husna lakonan Niena Baharun meninggalkan kesan luar biasa dalam jiwa penonton.

Sebagai bukti, anak kepada pelakon Zainol Macwilson itu menerima ratusan pesanan menerusi kotak mesej Instagramnya yang rata-rata meminta pendapat tentang masalah berkaitan cinta.

“Saya berbesar hati apabila menerima banyak mesej daripada peminat yang mahu berkongsi perasaan dan bertanyakan solusi untuk masalah cinta mereka.

“Biarpun tidak banyak yang boleh dinasihatkan, saya yakinkan mereka untuk terus kuat dan percaya bahawa setiap yang berlaku ada hikmahnya,” ujar Zahirah.

Antagonis

Selain perihal ketabahan dan kesabaran seorang wanita, konflik keluarga yang tercetus antara Shah dan Husna turut menyita khalayak untuk terus menyaksikan kesudahan drama 28 episod tersebut.

Begitupun, maklum balas penonton khususnya terhadap watak Husna tidak semurni yang diterima oleh Zahirah.

Jika dilihat pada komen yang ditinggalkan di platform media sosial, kebanyakan daripada pengikut Jangan Benci Cintaku melahirkan rasa kurang senang dengan watak tersebut.

“Saya akui ramai penonton tidak menggemari watak Husna yang dilakonkan oleh Niena. Saya selalu bertanya kepadanya, adakah dia okey dengan situasi sekarang.

“Risau juga jika kecaman melampau yang diterima Niena kerana dia sedang berbadan dua,” ujar Zahirah lagi.

Ditanya adakah dia mampu untuk membawakan watak Husna sama seperti Niena, jawab Zahirah, Niena merupakan pelakon wanita yang sangat sesuai untuk melakonkan watak sebegitu.

“Tambahan pula, saya memang tidak bersedia untuk menerima kecaman orang kerana watak antagonis yang dijayakan.

“Justeru, saya mahu memberi pujian kepada Niena kerana dapat menjelmakan watak Husna sebaik mungkin. Tidak keterluan saya katakan, Jangan Benci Cintaku bersinar kerana watak Husna,” katanya yang tidak akan membawakan watak antagonis pada masa depan.

Beralih pada perancangannya dalam bidang lakonan, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Cik Cinderella Dan Encik Tengku itu semakin komited dengan kerjayanya.

“Saya sedar, tiga tahun bergelar pelakon bukanlah satu jaminan untuk khalayak menerima saya. Banyak yang perlu dipelajari dan dicuba.

“Jadi, tidak salah rasanya jika saya memilih naskhah yang sesuai untuk dilakonkan pada masa akan datang,” katanya yang tidak akan memilih drama dengan tajuk-tajuk berunsur komedi dan tidak serius.

Fokus

Umum sedia maklum yang kisah cinta Zahirah dan bekas kekasihnya, Zul Ariffin pernah hangat diperkatakan suatu ketika dahulu.

Biarpun masing-masing enggan menyatakan secara rasmi hubungan mereka, namun dari sudut pandang peminat, hubungan rapat antara Zahirah dan Zul bertahan hanya untuk tempoh dua tahun.

Mahu memulakan fasa baharu dalam hidup, Zahirah kini optimis terhadap dirinya dan merancang untuk memberi perhatian penuh kepada kerjaya lakonan.

“Banyak yang saya belajar daripada ‘kisah percintaan’ dahulu. Mungkin saya terlalu kasihankan orang atau terlebih bersabar.

“Saya tidak mahu jadi seperti itu lagi. Saya mahu lebih kuat, tegas dan berani untuk berkata tidak,” ujarnya.

Berbicara lanjut, wanita berketinggian 173 sentimeter itu mengakui lebih selesa melalui fasa hidup solo.

“Berbanding dahulu, saya kini lebih bebas untuk melakukan apa sahaja. Saya bebas untuk menggunakan media sosial dan tidak perlu menghadap telefon bimbit setiap masa.

“Bagi saya, ini adalah masa yang terbaik untuk memberi fokus kepada kehidupan sendiri dan kerjaya. Ini juga masa yang sesuai untuk saya lebih menyayangi diri sendiri,” ujarnya dalam nada positif.

Duta

Bagaimanapun, tekadnya terhadap hidup secara solo bukanlah satu hal yang kekal. Menurut Zahirah, hatinya sentiasa terbuka jika ada lelaki yang ingin mengenali.

“Jika dia menghormati ibu bapa dan juga karier saya, itu sudah memadai. Berkenaan statusnya sebagai orang biasa atau individu dalam industri, saya tidak boleh jamin,” ujarnya sambil tertawa.

Berkenaan dengan pelantikannya sebagai duta penjagaan wajah Meeracle, Zahirah menjelaskan yang dia berasa gembira kerana dapat bekerjasama dengan pengusaha produk kecantikan tempatan.

Kongsi Zahirah, dia menerima tawaran untuk mewakili jenama berkenaan adalah disebabkan oleh kualiti yang ada pada setiap produk keluaran Meeracle.

“Sebelum ini, saya agak kurang percaya dengan kredibiliti produk kecantikan tempatan. Namun selepas diminta untuk mencuba Meeracle, saya terus jatuh cinta.

“Selama dua bulan mencuba, alhamdulillah kulit saya tidak lagi kusam. Saya suka dengan hasilnya.

“Produk yang dipasarkan oleh mereka juga berkualiti tinggi dan setaraf dengan produk jenama antarabangsa. Kulit saya juga serasi dengan produk mereka,” katanya menutup perbualan.

Selain berbicara mengenai pemilihan karakter dan naskhah berkualiti, Zahirah Macwilson turut menyentuh mengenai impak yang diterima menerusi watak Rafeeqa yang dijayakan dalam drama bersiri Jangan Benci Cintaku.