Namun pengalaman kelat Zahirah dalam percintaan membuatkan bapanya, Zainol Macwilson sangat tegas dalam memastikan anak kesayangannya itu tidak terluka buat kali kedua.

Baru-baru ini juga, Zainol pernah mengeluarkan kenyataan masih belum mengenali sepenuhnya hati budi kekasih anaknya itu.

Ditanya penjelasan tentang situasi tersebut, dengan penuh hemah Aiman membuka bicara. Seharusnya kata Aiman, dia tidak perlu untuk memberi apa-apa komen kerana menghormati status bapa Zahirah yang lebih tua berbanding daripadanya.

“Saya rasa perkara ini sangat sensitif. Kalau saya jawab, orang mungkin akan faham sebaliknya. Sebab pemahaman setiap orang adalah berbeza.

“Perkara sebegini ada hadnya dan sangat bersifat privasi. Sebenarnya kami tiada masalah pun. Insya-Allah, semuanya akan baik-baik dan doakan kami,” ujarnya tenang.

Tambah Aiman lagi, dia sangat memahami tindakan bapa Zahirah kerana terlalu melindungi orang yang disayangi.

“Dia membesarkan Zahirah dengan penuh kasih sayang dan saya faham perkara itu. Sebenarnya saya sangat mengagumi cara dia melindungi Zahirah. Itu satu perkara yang sangat bagus.

“Saya harap dapat melakukan perkara serupa iaitu memberi kasih sayang kepada Zahirah. Kalau tidak mencapai tahap sepenuhnya sekali pun, sekurang-kurangnya biarlah sama seperti dengan yang dia (Zainol) beri kepada anaknya,” kata Aiman yang mengakui sudah beberapa kali bertemu Zainol.

Pada awal Ramadan ini juga, Aiman dan Zahirah sengaja terbang ke Perth, Australia untuk bertemu dan meluangkan masa dengan Zainol yang menetap di sana.

Ditebak dengan persoalan sama ada pemergiannya ke sana adalah untuk membincangkan soal pertunangan sebagaimana yang digembar-gemburkan sejak beberapa minggu lalu, Aiman hanya memberi jawapan ringkas.

“Memang saya ke Perth untuk berbincang hal itu. Saya dan keluarga datang (ke sana) untuk perkara baik. Insya-Allah. Bertunang atau berkahwin adalah perkara bagus, jadi doakanlah yang terbaik buat kami,” pinta Aiman.

Kandungan digital

Membawa perbualan ke mengenai aktiviti karier sepanjang Ramadan, selain urusan keluarga, kunjungan Aiman dan Zahirah ke Perth juga adalah bagi atas urusan kerja berkaitan projek kandungan digital yang dicipta sendiri.

Sebelum ini, kedua-duanya pernah memuat naik beberapa video di Instagram berkaitan projek @toxic_inlove memandangkan peranan kandungan digital memberi impak besar terutama kepada pengguna media sosial.

“Sepanjang Ramadan kami banyak memberi fokus untuk projek itu sahaja. Sebab kami suka sibukkan diri dengan kerja yang kami minat lakukan.

“Lagi pun misi kami adalah untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakan kandungan digital bagi apa jua perkara seperti melancong, gaya hidup dan inspirasi,” jelas Aiman yang menguruskan segala keperluan projek berkenaan bersama Zahirah.

Tambah Zahirah pula, projek tersebut dimulakan secara kecil-kecilan terlebih dahulu kerana menyedari mereka mempunyai minat yang serupa ke arah perkongsian gaya hidup dalam platform digital.

Selain itu, drama lakonan mereka berjudul Curi-Curi Cinta kini sedang ditayangkan sepanjang Ramadan sehingga awal Syawal depan.

Ditanya tentang cara bekerja di set penggambaran sementelah bergandingan drama sama selepas bergelar pasangan kekasih, baik Aiman mahupun Zahirah, mereka tidak merasakan banyak perubahan berlaku, terutama semasa di lokasi.

“Saya sangat senang dan selesa bekerja dengan Aiman sebab kami bukan sekadar pasangan kekasih bahkan rakan baik. Dalam hubungan kami, bukan semuanya berkisar tentang cinta. Kerja tetap kerja. Jadi kami perlu profesional.

“Langsung tiada perasaan kekok atau malu ketika bekerja bersama sebab itulah tugas kami, perlu menjadi pelakon versatil walaupun bergandingan dengan pasangan sendiri.

“Sama juga ketika berlakon dengan ayah, saya okey dan tiada apa yang kekok pun,” kata Zahirah yang memegang watak sebagai Intan Raihana dalam drama bersiri berkenaan.

Nyanyian

Selain berlakon, jadual karier Aiman sekarang bersayap baharu apabila kafe studio miliknya sudah pun beroperasi sejak dua minggu lalu.

Jelas aktor tinggi lampai berusia 30 tahun itu, dia seorang yang gemarkan cabaran. Atas sebab itu, dia nekad untuk belajar lebih banyak perkara dalam hidup.

“Kalau tiada cabaran, hidup akan jadi bosan. Kadang-kadang kita perlu cabar diri untuk buat sesuatu yang lain daripada kebiasaan.

“Idea membina perniagaan ini hasil percakapan dengan bapa saya sebab dia sangat sukakan perkara yang membabitkan ilmu.

“Saya buka bisnes bukan untuk diri sendiri semata-mata, tetapi sebenarnya lebih kepada memberi manfaat untuk orang lain,” katanya.

Satu hal yang menjadi alasan tambahan sehingga tertubuhnya kafe studio itu adalah bertitik tolak daripada hasrat Aiman untuk kembali membina keyakinan dalam bidang muzik.

Umum mengetahui kehadiran pelakon drama Vanila Coklat itu bermula dari gelanggang nyanyian apabila menjadi salah seorang peserta program Mentor musim kelima pada tahun 2011.

Namun nasib dalam bidang nyanyian tidak menyebelahinya, sebaliknya tuahnya lebih menyerlah dalam dunia lakonan.

“Saya memang ada perancangan untuk menyanyi lagi. Itu juga salah satu sebab kenapa saya bina kafe studio. Cuma pengalaman ketika dalam program Mentor agak pahit untuk dikenang.

“Jadi dengan adanya kafe studio, saya boleh bina kembali keyakinan dan memulakan semula karier nyanyian dan identiti muzik saya suatu hari nanti,” ujarnya menutup perbualan.