Bagaimanapun, lebih menarik apabila kini dua orang anaknya, Syafiq dan Syamsul pula yang mengikut jejak langkahnya.

Kehebatan dan kelainan mereka mengarah sesebuah filem juga sememangnya membuka satu dimensi baharu kepada dunia perfileman tempatan dan bersempena dengan filem KL Special Force yang akan menemui penonton mulai 8 Mac ini, Sensasi Bintang mendapatkan pengarahnya iaitu Syafiq dan Yusof selaku penerbit serta penasihat produksi bagi berkongsi serba sedikit mengenai naskhah berkenaan.

Sensasi Bintang: Boleh ceritakan serba sedikit mengenai idea menghasilkan filem aksi, KL Special Force. Mungkin ia sepenuhnya daripada Syafiq atau gandingan bersama?

Yusof: Idea KL Special Force sepenuhnya daripada Syafiq tetapi saya ada memberi pandangan serta pendapat semasa skrip sedang dihasilkan. Bagaimanapun, saya tidak terlalu campur tangan kerana tidak mahu terbawa-terbawa dengan gaya penceritaan drama atau filem arahan saya seperti sebelum ini.

Syafiq: Sebenarnya sudah lama saya mahu membikin filem begini. Ini kerana, saya mahu jadikan drama Gerak Khas kepada bentuk filem. Lagipun, kali terakhir Gerak Khas di layar perak ialah pada tahun 2005 dan ia adalah arahan daripada bapa saya iaitu Yusof. Sudah banyak kali juga tertangguh tetapi kini akhirnya KL Special Force berjaya disiapkan.

Filem aksi sememangnya antara naskhah yang dinantikan penonton. Justeru, pelakon yang akan membintanginya juga bukanlah calang-calang orang. Bagaimana pula dengan pemilihan pelakon untuk KL Special Force?

Yusof: Barisan pelakon ditentukan oleh Syafiq tetapi dia ada meminta pandangan daripada saya. Bagi pelakon dalam naskhah ini, ia adalah kombinasi tiga generasi iaitu antara Datuk Rosyam Nor, Syamsul dan Fattah Amin. Mereka melengkapi dan membantu antara satu sama lain sekaligus menyemarakkan lakonan serta kekuatan yang ada dalam diri masing-masing.

Syafiq: Kalau dilihat dalam filem ini, saya menggabungkan antara tiga nama iaitu Rosyam Nor, Syamsul dan Fattah. Ini kerana, saya melihat dan mengambil idea daripada filem aksi Hong Kong. Kebanyakan filem Hong Kong, mereka akan menggabungkan artis baharu dan senior.

Pemilihan Fattah adalah selaku pendatang baharu yang sedang bersinar. Meskipun dia lebih dikenali sebagai pelakon watak romantik tetapi selalunya saya akan melihat seseorang pelakon itu daripada segi lakonan dan rupa. Fattah boleh berlakon dalam drama bergenre romantik. Justeru, saya anggap dia boleh membawa apa-apa watak.

Memandangkan KL Special Force merupakan naskhah yang melibatkan jabatan kepolisan yang umum mengetahui mempunyai undang-undang tersendiri. Adakah kalian terutamanya Syafiq menghadapi tekanan atau cabaran dalam menyiapkan filem terbabit?

Yusof: Memang ada tekanan kerana ia melibatkan jabatan kepolisan tetapi memandangkan kita sudah lama menghasilkan drama melibatkan polis seumpamanya Gerak Khas, kita faham apa yang boleh dan tidak.

Syafiq: Pada mulanya, saya berasa takut kerana bapa sudah memberi amaran yang mana bukan mudah menghasilkan sebuah filem berkaitan polis. Bagaimanapun, saya bernasib baik dan amat berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia kerana mereka mengambil pendekatan bukan buang tetapi ubah sesetengah babak yang mereka rasa tidak bersesuaian. Banyak juga yang diubah, namun nasib baik tidak mengganggu plot penceritaan.

Setiap filem yang dihasilkan atau terbitan Skop Production seringkali menjadi tumpuan penonton khususnya peminat filem bergenre aksi kerana ia tidak pernah mengecewakan. Jadi, apa pula kelainan KL Special Force.

Yusof: Saya nampak aksi dalam KL Special Force lain daripada filem tempatan yang lain.

Syafiq: KL Special Force ada kelainan berbanding naskhah saya sebelum ini. Pertama, ia merupakan filem yang banyak babak aksi. Dari segi penceritaan pula, ia sangat bermain dengan persepsi penonton.

Harapan kalian untuk filem ini yang bakal menemui penonton bermula Khamis ini.

Yusof: Harap KL Special Force mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai. Saya tidak mahu meletakkan sasaran kutipan sebaliknya terpulang kepada rezeki. Doakan semoga ia sukses.

Syafiq: Saya harap ramai orang datang untuk menonton filem ini.