Menurut Yusof, 64, penggiat filem seharusnya bersyukur kerana dengan adanya sistem wajib tayang semua penerbit mendapat peluang sama rata untuk menayangkan filem terbitan mereka di pawagam.

"Penggiat seni harus bersyukur dengan sokongan kerajaan terhadap industri perfileman tempatan. Rasanya hanya Malaysia sahaja yang ada sistem ini sebagai sokongan kepada penggiat filem tempatan," ujarnya ketika ditemui di Skop Productions sebentar tadi.

Bagaimanapun, Yusof dengan tegas berharap penggiat filem tidak mengambil kesempatan terhadap kewujudan sistem tersebut dengan membikin filem yang tidak mencapai piawaian pihak pawagam.

"Saya harap penggiat  filem menghargai kemudahan yang ada dengan membikin sebuah filem yang mencapai piawaian.

"Ada penerbit yang menghantar filem mutunya lebih teruk daripada drama televisyen dan berharap filemnya ditayangkan di banyak pawagam. Cara itu salah kerana pihak pawagam menjalankan perniagaan.

"Skim Wajib Tayang diwujudkan bukan untuk memaksa pihak pawagam menerima bulat-bulat filem tempatan. Ia merupakan kerjasama yang menguntungkan kedua-dua pihak, jadi tolong hormat dan berilah karya berkualiti," kata Yusof.

Skim Wajib Tayang diperkenalkan untuk mempertimbangkan mana-mana filem tempatan ditayangkan secara wajib di pawagam.

Dibawah Skim Wajib Tayang yang mula diperkenalkan pada 1991, pawagam harus menayangkan filem tempatan secara selama dua minggu berturut-turut mengikut peruntukan peraturan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). - K ONLINE