Ibu bapanya berketurunan Orang Asli Mexico dan dia sememangnya tidak pernah mengikuti sebarang kelas lakonan formal untuk masuk ke dunia lakonan.

Demikian sedikit pengenalan ringkas mengenai bintang filem Roma, Yalitza Aparicio yang juga calon Pelakon Wanita Terbaik Academy Awards Ke-91.

Satu hal membanggakan, dia bukan sahaja pertama kali menerima pencalonan elit hasil lakonan telus sebagai Cleodegaria Gutiérrez atau Cleo dalam Roma, lebih besar lagi Aparicio juga mencipta sejarah sebagai wanita kaum Orang Asli pertama yang dicalonkan dalam kategori tersebut. Yalitza sekali gus menjadi aktres kelahiran Mexico kedua selepas Salma Hayek yang tergolong dalam pencalonan Pelakon Wanita Terbaik sepanjang penganjuran acara Academy Awards atau Oscar.

Umpama rezeki terpijak, jika mengikut rencana atau perjalanan lurus kehidupannya, ketika ini Yalitza sepatutnya sudah bergelar guru tadika. Dia hampir melepaskan peluang untuk terlibat dalam filem arahan pengarah Alfonso Cuarón tersebut kerana kecintaan besar dalam bidang pendidikan.

“Pada mulanya, saya tidak mahu menjalani uji bakat. Kakak saya yang berkeras untuk menjalani uji bakat, namun ketika itu dia mengandung. Ketika ditawarkan peranan Cleo, saya mengambil masa untuk membuat keputusan.

“Dengan kejayaan yang telah saya raih sekarang, kakak saya adalah orang yang paling gembira. Dia bersyukur kerana saya sudah berani bercakap di depan orang ramai dan berhadapan dengan kamera. Sebelum ini, saya seorang yang pendiam,” jelas wanita berusia 25 tahun itu seperti yang dituturkan dalam rancangan bual bicara, Jimmy Kimmel Live.

Tidak pernah memasang angan-angan untuk bergelar pelakon, Yalitza mengakui perasaannya berkecamuk saat ditawarkan watak Cleo dalam filem Roma.

Angan-angan

“Saya tidak pernah terbayang untuk menjadi sebahagian dalam projek seperti ini. Ketika Cuarón menawarkan saya watak dalam Roma, perasaan saya bercampur-baur. Saya hampir tidak mempercayainya.

“Selepas setiap ujian skrin, keluarga akan menanyakan bagaimana proses berlangsung dan sebagainya. Saya cuma jawab, tidak tahu. Sekurang-kurangnya sekarang, saya boleh melawat banyak tempat bersama ibu saya,” kata Yalitza.

Ditanya bagaimana perasaannya apabila diberi peluang memainkan peranan seorang wanita bernama Cleo yang begitu dekat di hati sang pengarah, jawab Yalitza: “Sejujurnya, saya berasa pelik. Lagi-lagi apabila cerita ini berdasarkan kaca mata dirinya ketika zaman kanak-kanaknya.

“Cuarón dibesarkan oleh orang gaji bernama Libo sejak berusia sembilan tahun. Pada mulanya, saya takut tidak dapat memberikan apa yang dimahukannya sebagai pengarah. Namun dia berjaya memercik magis dalam hasil kerjanya lantas membuat saya yakin,” ungkap Yalitza.

Watak Cleo sebenarnya diinspirasikan daripada kehidupan sebenar orang gaji Cuarón bernama Libo. Semestinya watak tersebut dekat jiwa dengan pengarah berusia 57 tahun itu.

“Wanita itu mengingatkan saya kepada ibu sendiri yang juga pernah bekerja sebagai orang gaji. Apabila Cuarón memberitahu saya tentang sejarah lampau Libo dan bagaimana wanita itu menjadi sebahagian daripada keluarganya, saya teringatkan pekerjaan ibu saya dan perit jerihnya membesarkan ke semua anak dengan wang upah sebagai orang gaji,” terangnya.

Berlakon merupakan antara cabang seni yang sukar untuk diterokai seseorang. Dalam erti kata lain, jika tidak berbakat, roh karakter yang dimainkan tidak akan ‘hidup’. Hal tersebut diakui Aparicio yang terpaksa berlawan dengan rasa takut dalam dirinya

Bahasa Inggeris

“Paling susah penggambaran adegan di kawasan pantai kerana saya tidak tahu berenang. Bahkan melihat gelora dan keluasan laut sahaja sudah membuatkan saya gementar,” tuturnya.

Ditebak pertanyaan apakah perkara paling mudah berkaitan seni lakonan, jawab Yalitza bersahaja: “Paling mudah adalah interaksi dengan kanak-kanak kerana perkara itu sesuatu yang begitu lazim dan dekat di hati saya.

“Seperti bergurau senda dengan Adela (watak dimainkan pelakon cilik Nancy García dalam Roma), itu sememangnya secara semula jadi, sebagaimana saya mudah mesra dengan kanak-kanak.”

Tidak fasih berbahasa Inggeris dan secara mendadak mencipta nama sebagai pelakon di bumi Hollywood sementelah menerima pencalonan Pelakon Wanita Terbaik di samping empat nama besar lain seperti Glen Close, Lady Gaga, Olivia Colman dan Melissa McCarthy merebut trofi Oscars, Yalitza amat terkejut.

“Apa yang berlaku sekarang umpama mimpi yang terjadi saya sendiri tidak menyedari kehadirannya. Saya tidak tahu. Terima kasih kerana tengok lakonan saya. Saya tiada pengalaman berlakon dan Roma adalah penglibatan pertama saya dalam perfileman.

“Perkara yang paling dekat dengan lakonan yang pernah saya lakukan sebelum ini hanyalah menipu kepada guru di sekolah dan ibu saya (tertawa).

“Menerima pencalonan dan berpeluang bertemu dengan ramai orang sudah suatu kegembiraan buat saya,” kongsinya merendah diri yang merancang untuk mengikuti kelas lakonan selepas ini.

Roma memecah ‘tabu’ Academy Awards sebagai filem penstriman pertama keluaran Netflix yang bukan hanya dicalonkan untuk kategori Filem Terbaik bahkan sembilan kategori utama lain termasuk Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Menjadi filem paling banyak menerima pencalonan Oscars edisi kali ini di samping naskhah The Favourite dengan jumlah pencalonan yang sama iaitu 10, Roma bagaimanapun disebut-sebut ramai pengkritik filem bakal pulang dengan trofi Filem Terbaik.

Dengan kemaraan Yalitza Aparicio dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik memberi teladan bahawa Hollywood sentiasa bergerak selangkah ke hadapan dalam bidang perfileman, sekali gus membuktikan pendekatan keraian kepelbagaian dalam setiap penganjuran majlis anugerah.

Kurang menyerlah dari segi fizikal, tidak fasih berbahasa Inggeris dan bukan berasal daripada golongan majoriti di Amerika Syarikat, itu semua bukan ukuran untuk tidak berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dalam memperdagangkan ketelusan kualiti serta kredibiliti kerja seni.

Tidak fasih berbahasa Inggeris dan berketurunan orang asli, namun Yalitza Aparicio mengukir sejarah sebagai wanita Orang Asli pertama menerima pencalonan Pelakon Wanita Terbaik Academy Awards. Sepatutnya bergelar guru, Roma bagaimanapun mengubah hidupnya ke karpet merah.