Lola atau nama sebenarnya Saiful Rizla Kamarudin, 44, berkata, laporan polis telah dibuat selain berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu tersebut.

Katanya, sejak sebulan lalu individu yang tidak didedahkan identitinya itu telah bertindak memburuk-burukkan XPDC termasuk memboikot Prime Domestic yang turut membuat persembahan pada konsert Public Distortion 2017 Sabtu depan.

"Kami telah membuat beberapa laporan polis sebulan lalu termasuk berbincang dengan pihak peguam untuk mengambil tindakan lanjut.

"Secara peribadi kami tidak mempunyai sebarang masalah dengan individu berkenaan. Kami juga tidak mengetahui punca dia melakukan perkara tersebut," katanya dalam satu sidang akhbar di Oasis Damansara di sini petang tadi.

Dalam masa sama, Lola turut memberitahu pihaknya mengenali individu berkenaan sedang mengumpulkan bahan bukti untuk membawa perkara berkenaan ke mahkamah. - K! ONLINE