Menurut isteri kepada pelakon popular, Aeril Zafrel itu, kemewahan yang dikecapi sebagai pengasas produk kosmetik Wawa Cosmetic ketika ini juga bukan menjadi tiket untuk dia berlagak dan melupakan karier lakonan yang telah mempopularkan namanya.

“Saya bermula dari bawah, cuma sehingga kini saya terlalu sibuk untuk berlakon. Saya harus buat keputusan, sama ada saya atau Aeril Zafrel. Kalau Aeril mahu berlakon, saya kena jaga bisnes,” kata Wawa.

Baru melancarkan Unicorn Kit Wawa Cosmetic, Wawa juga berbangga kerana mampu berkongsi rezeki dengan semua orang termasuk ejen di bawah naungan syarikatnya.

Sehingga kini, seramai empat orang ejen berdaftar dengannya sudah pun bergelar jutawan dan beberapa orang lain juga sedang menyusul.

“Macam saya bermula daripada kosong, ada ejen kosmetik saya yang sudah mampu memiliki kereta dan rumah sendiri. Saya mahu rezeki ini memberi manfaat kepada orang lain. Saya sangat ber­puas hati dan anggap itu sebagai kejayaan peribadi,” katanya.

Wawa dan suaminya sebelum ini pernah berdepan kerugian sebanyak RM100,000 apabila ditipu seorang ahli perniagaan bergelar Datuk.

“Saya ambil itu sebagai pe­ngajaran untuk lebih berhati-hati,” katanya yang bermula dengan menjual kanta sentuh tiga tahun lalu.