Waris atau nama sebenarnya Muzzammil Alias berkata, perbuatan ponteng puasa itu sudah dilakukan sejak beberapa tahun lalu ketika dia masih lagi berniaga air di Bazar Ramadan Rembau.

Namun pada tahun lalu, dia berjaya berpuasa penuh dengan dorongan kuat isteri, Izzati Amirah Kamaruddin, yang sudah lama menasihatinya untuk meninggalkan tabiat buruk tersebut.

“Saya akui memang jarang sangat puasa penuh kerana mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling terutama apabila ada orang yang berniaga di sebelah gerai saya juga tidak berpuasa.

“Namun sejak usia meningkat dan anak juga sudah dua orang, saya rasa tiba masanya untuk saya berubah menjadi contoh lebih baik untuk mereka,” katanya kepada Kosmo!.

Tambah penyanyi Rembau Most Wanted itu lagi, demi melaksanakan azam puasa penuh sekali lagi untuk tahun ini, dia mengambil keputusan menyewakan tapak berniaga di bazar ramadan kepada orang lain.

“Tahun ini saya berniat mahu fokus ibadat jadi saya tidak mahu ralit berniaga.

“Mungkin saya akan dikecam selepas ini kerana mengaku jarang puasa penuh tapi tidak mengapa, apa yang penting saya sudah perlahan-lahan menjadi lebih baik,” jelasnya lagi.

Waris dan isteri, Izzati Amirah berkahwin pada 1 Ogos 2015 dan dikur niakan dua cahaya mata iaitu Muassir,3, dan Tihani Izz Nina, sembilan bulan. - K! ONLINE