Biarpun dikelilingi individu yang sering memberikan aura positif, namun wanita berusia 27 tahun itu mengakui, hampir tergelincir daripada laluan hidupnya ketika sedang rancak membina nama.

Pernah alpa sehingga mengingkari nasihat ibunya sendiri, Wany berkata, jalan hidupnya pada waktu tersebut boleh disifatkan sebagai mirip judul lagu terbaharunya, Terlalu Memuja.

Pemilik nama lengkap Nurshazwany Hasrita Hasbullah itu berkata, akibat terlalu obses terhadap sesuatu perkara dia pernah tergamak melupakan keluarga.

Sungguhpun begitu, Wany mengakui bernasib baik kerana cepat tersedar dan tidak terlalu larut dengan kehendak dirinya sendiri.

Ditemui pada acara Starvilion Balik Raya 2019 di Isetan Suria KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini, pelantun lagu Menahan Rindu itu turut menjelaskan alasan menyukai tweet berkaitan perkahwinan golongan LGBT dalam akaun Twitternya sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat.

KOSMO!: Lagu baharu Wany, Terlalu Memuja boleh diibaratkan sebagai lagu yang dekat dengan diri anda. Adakah lirik dan judul lagu tersebut ada kena mengena dengan kisah peribadi anda?

WANY: Sejujurnya, bukan saya seorang sahaja yang pernah mengalami fasa terlalu memuja. Tidak semestinya soal cinta, tetapi perkara lain berkaitan kerjaya dan kehidupan.

Jadi, benarlah anda pernah melalui fasa tersebut?

Benar, seketika dahulu saya pernah alpa sehingga lupa dengan keluarga. Saya juga pernah mengenepikan ibu sendiri kerana terlalu kejarkan perkara yang belum tentu membawa kebaikan. Mujurlah kealpaan saya tidak berlanjutan lama. Selepas sekitar tiga bulan, saya terus meminta maaf daripada ibu saya.

Apakah yang anda kejarkan sehingga sanggup mengetepikan ibu sendiri?

Biarlah saya sahaja yang tahu puncanya. Cuma, apa yang boleh saya katakan, ibu selalu mendoakan tidak kira masa. Alhamdulillah, mungkin disebabkan doa ibu, saya sedar diri.

Apakah pesanan anda kepada artis baharu yang ingin menjadikan bidang nyanyian sebagai karier?

Selain perlu pandai jaga diri, artis perlu dikelilingi individu yang lebih matang dan tegas. Jika nasihat diberikan oleh rakan sebaya, mungkin sudut pandangan rakan sebaya tidak sedalam atau sematang orang yang lebih dewasa dan berpengalaman.

Baru-baru ini, anda ada menyukai satu tweet seorang pengguna Twitter berkaitan isu perkahwinan golongan LGBT yang berlaku kerana ingin menutup orentasi seks. Mengapakah anda bertindak menyukai tweet tersebut?

Sebenarnya, saya tidak menyokong perkara tersebut. Cuma, tidak dinafikan, situasi seperti yang digambarkan menerusi status tersebut ada betulnya dan mungkin pernah berlaku. Namun, pada pendapat saya, perkahwinan merupakan satu komitmen dan tidak boleh dipandang enteng oleh setiap pasangan walau berada dalam apa jua keadaan.

Adakah anda boleh menerima pasangan daripada golongan sedemikian?

Saya bukanlah insan yang sempurna. Tambahan pula, setiap orang mempunyai sisi silam yang berbeza. Jadi, jika dia mahu berubah menjadi yang lebih baik, saya sanggup membantu.

Boleh ceritakan mengenai koleksi raya anda bersama Starvilion pada tahun ini?

Untuk koleksi berkenaan, saya bersama Starvilion membawakan 10 rekaan berbeza. Jika tahun lalu kebanyakan koleksi menampilkan rekaan moden, tahun ini saya memilih untuk menerapkan elemen santai. Selain digayakan sempena hari raya, rekaan Rindu By Wany Hasrita boleh dipakai di mana jua dan pada bila-bila masa.