Ironinya, ini merupakan tahun kelima Wani dalam industri. Tidak keterlaluan jika dikatakan, saat rakan seangkatan bawah syarikat pengurusan sama iaitu FMC sudah jauh ke hadapan mencipta populariti, Wani dilihat agak ketinggalan di belakang.

Menyedari situasi tersebut, dengan tenang penyanyi berusia 21 tahun menyatakan pendirian. Sedikit pun dia tidak pernah berkecil hati mahupun berasa tertekan kerana segalanya terletak pada rezeki dan kelebihan masing-masing.

“Sebagai contoh, saya masuk dalam industri terlebih dahulu berbanding Wany Hasrita tetapi sekarang kedudukan dia jauh ke depan berbanding saya.

“Saya sedikit pun tiada rasa cemburu atau tertekan kerana semua ini soal rezeki. Setiap daripada kita sudah tertulis jalan cerita yang berbeza, jadi saya okey.

“Setidaknya situasi ini menyuntik semangat untuk saya lebih bersemangat memperbaiki diri,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Wani kini mahu fokus mempromosikan single terbaharunya berjudul Pendusta Cinta. Ia merupakan ciptaan DJ Fuzz, Hez Hazmi selain Wani turut menyumbang ideanya dalam penulisan lirik untuk bahagian korus.

Kelainan

Menceritakan lanjut tentang lagu tersebut, penyanyi kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata, dia masih mengekalkan irama seperti lagu Alhamdulillah kerana mahu ia menjadi imejnya supaya mudah diingati peminat.

“Ini merupakan single keenam saya. Saya memilih untuk kekal menerapkan irama sama seperti lagu Alhamdulillah kerana tidak mahu terlalu mencipta kelainan. Saya bimbang nanti peminat keliru,” jelasnya.

Masih mengekalkan konsep lagu yang menonjolkan duetnya bersama penyanyi rap, kata pemilik nama lengkap Nursyazwani Selamat itu lagi, ia juga merupakan strateginya untuk terus kekal dengan imej sebegitu.

Cuma untuk kali ini, Wani menjalin kerjasama dengan penyanyi Waris selepas dua buah lagu duet terdahulu menampilkan gandingan bersama penyanyi rap Juzzthin menerusi lagu Alhamdulillah dan Lepaskan.

Selain bertukar pasangan duet, kali ini Wani juga dilihat semakin berani mencipta kelainan untuk single apabila tampil dengan sedikit tarian.

Mengakui sengaja menyuntik elemen tersebut kerana memang meminati dan gemar menari, kata Wani, dia mahu lari daripada kebiasaan konsep video muzik yang klise.

“Untuk lagu ini, saya tampil dengan keberanian mencuba sesuatu yang baharu kerana ironinya ramai peminat menggemari lagu rancak dan tarian.

“Meskipun bertudung, saya tidak memandang imej sebegitu sebagai halangan kerana dalam video itu pun, saya tidak menari secara berlebih-lebihan. Gaya pemakaian juga tidak ketat sehingga menampakkan bentuk badan,” tutupnya.