HATYAISelain kampung halaman, Riz Amin juga pernah beraya sehingga ke Hatyai, Thailand memandangkan jarak kampungnya tidak jauh dengan lokasi popular tersebut.

Untuk berkongsi pengalaman menjalani sambutan lebaran kali ini, Kosmo! menggabungkan tiga nama yang barangkali tidak terlalu terdedah dengan populariti, namun bakat mereka sering ditagih selaku pelakon di stesen televisyen mahupun penyanyi dalam pelbagai jenis acara hiburan.

Ikuti perkongsian kisah menyambut lebaran daripada pelakon Riz Amin, Lia Natalia dan penyanyi bertubuh genit Wani Kayrie.

Lia Natalia beraya sebulan

Bagi setiap orang, dapat bercuti selama seminggu untuk menyambut lebaran bersama keluarga di kampung halaman sudah cukup membahagiakan hati asalkan peluang itu hadir di depan mata.

Namun, berbeza dengan pelakon Lia Natalia yang kebiasaannya mengambil cuti raya selama sebulan lamanya. Ia kerana faktor jarak kampung halaman yang nun jauh di Sabah membuatkan Lia merasakan itu adalah cara terbaik untuk dimanfaatkan bersama keluarga.

“Sebenarnya setiap tahun memang saya balik ke kampung sekali sahaja. Sebab itu apabila ada kesempatan, saya ambil cuti panjang. Kebetulan pula seminggu sebelum raya saya terlibat dengan festival jualan di Tawau dan Kota Kinabalu,” ujarnya.

Diajak bercerita tentang sambutan hari raya di negeri kelahirannya, Lia mengakui ada banyak perbezaan dengan suasana di Semenanjung Malaysia.

Hal ini kerana masyarakat di Sabah menghidangkan juadah pada pagi raya mengikut makanan tradisional suku kaum masing-masing.

“Raya di Sabah memang meriah terutama bab makanan. Sebab kami di Sabah banyak suku kaum, jadi selalunya makanan yang dihidang mengikut suku masing-masing.

“Contohnya suku kaum Bugis atau Jawa. Jadi, kami akan hidangkan makanan tradisional kepada tetamu. Itu yang membuatkan raya di Sabah agak istimewa dan lebih meriah,” katanya yang mempunyai sebanyak tujuh pasang baju raya.

Riz buat 
jamuan raya

Berbeza dengan pelakon tinggi lampai Riz Amin yang bercerita rutin sambutan hari rayanya setiap tahun dengan mengadakan jamuan secara kecil-kecilan di rumah keluarganya.

Riz atau nama sebenarnya, Norizam Amin Nordin pulang beraya di rumah kedua-dua orang tuanya di Changlun, Kedah.

“Kemeriahan beraya di Kedah sama sahaja seperti negeri lain, tetapi bagi keluarga kami ada cara tersendiri untuk meraikannya. Pada raya kedua, ibu dan ayah saya selalunya akan mengadakan jamuan kecil-kecilan untuk sanak saudara jiran-jiran.

“Itu memang rutin tahunan mereka sebab niat untuk bersedekah. Lagi pun orang tua saya memang berniaga, jadi tidak ada masalah untuk mereka masak dalam kuantiti yang banyak,” ujarnya yang gemar juadah raya seperti lemang, nasi impit dan rendang ayam.

Cuma sejak pemergian datuk dan nenek belah kedua-dua orang tuanya, sambutan hari raya dirasakan agak suram kerana tiada lagi rutin bergotong-royong mengemas rumah dilakukan.

“Semasa mereka masih ada, saya dan keluarga akan pulang awal tiga hari untuk bergotong-royong mengemas rumah, memasang pelita di hadapan rumah dan membakar lemang.

“Tetapi semenjak pemergian mereka, suasana meriah sudah kurang sebab tiada siapa yang ada di rumah pusaka mereka,” katanya mengimbau kenangan.

Wani keliling 
kampung naik pikap

Lain kisahnya dengan penyanyi muda Wani Kayrie yang pulang menyambut lebaran tahun ini bersama keluarga di kampung halaman neneknya di Sandakan, Sabah.

Menurut Wani, dia sangat teruja kerana dapat membawa kaum keluarga yang terdiri daripada sepupu-sepupu beraya keliling kampung dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda atau trak pikap.

Kata pelantun lagu Jangan Jangan itu lagi, keterujaannya pulang ke Sabah tahun ini diselitkan dengan banyak perancangan yang dilakukan bersama keluarga.

“Bukan sewaktu hari raya sahaja tetapi acap kali pulang ke Sabah saya akan bawa mereka naik pikap beramai-ramai. Selepas itu, dalam hari raya ketiga kami juga mengadakan hari keluarga di pantai berdekatan kampung.

“Di situlah kami tangkap udang dan ikan sebelum dibakar dan makan beramai-ramai. Sebab saya bukannya selalu pulang ke sana, jadi itulah momen terbaik yang diraikan,” katanya.

Tambah Wani, 19, sambutan raya tahun ini adalah yang paling mewah pernah dihabiskan olehnya kerana segala persiapan raya dibiayai sendiri, termasuk kos tiket penerbangan pergi dan balik untuk ibu dan dua orang adiknya ke Sabah. Malah, dia juga baru sahaja membeli sebuah televisyen berukuran 65 inci untuk ibunya.

“Alhamdulillah, tahun ini ada rezeki lebih sebab duit kemenangan program Big Stage tempoh hari masih ada. Jadi, saya gunakannya untuk membantu keluarga.

“Malah untuk keluarga di Sabah juga saya membeli sebuah lori satu tan untuk kegunaan. Sebenarnya ia untuk kegunaan bisnes kelapa sawit keluarga, tetapi waktu raya ini kami gunakan digunakan untuk beraya,” ujarnya yang mengambil tanggungjawab menyediakan makanan ringan kerepek belado.

Syawal masih menyemarakkan keriangan buat seluruh umat Islam. Berasal dari latar belakang berbeza, Wani Kayrie, Riz Amin dan Lia Natalia ada cerita yang mahu dikongsikan.