Sungguhpun begitu, itu tidak bermaksud bahawa, kehadiran muka-muka baharu tidak perlu diberi ruang dan keyakinan dalam menggalas sesebuah naskhah. Ini kerana, jika tidak diberikan peluang kepada mereka dalam menonjolkan bakat yang ada, sudah pasti sukar untuk penonton menilai.

Begitulah pendekatan yang cuba digunakan dalam telefilem terbaharu berjudul Budak Kripto terbitan A&S Pictures Sdn. Bhd. dan kerjasama dengan Manja Citra Sdn. Bhd. Menampilkan muka baharu, Zam Azmi dan Nurul Hida selaku hero dan heroin, pengarahnya, Din CJ percaya gandingan itu mampu menarik minat orang untuk menontonnya.

“Walaupun mereka ini merupakan muka baharu, tetapi apa yang lebih penting adalah bakat dan kesungguhan yang mereka berikan dalam menjayakan cerita ini. Saya percaya dengan gandingan pelakon baharu ini dapat memberi satu kelainan kepada penonton di luar sana.

“Bagaimanapun, dalam naskhah ini juga saya turut menggunakan ramai barisan pelakon yang jauh berpengalaman dan dikenali untuk memegang watak sokongan. Jadi, secara tidak langsung, gabungan pelakon baharu dan lama itu tetap ada,” katanya kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.

Karya yang memulakan penggambaran pada 25 April lalu itu turut menampilkan aktor Fahrin Ahmad, Liza Abdullah, Kazaruddin, Afifah Nasir, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk David Arumugam, Accapan, Mamat Khalid dan A. Galak.

Sementara itu, bagi teraju utamanya, Zam Azmi memberitahu, dia berasa bertuah apabila berpeluang bekerjasama dengan pengarah yang pernah mencetuskan fenomena menerusi drama bersiri Cinderella pada tahun 1998.

“Sebagai orang baharu, semestinya saya beruntung untuk bekerja dengan individu-individu hebat dan berpengalaman. Apa yang penting, selepas dapat skrip, saya banyak melakukan kajian mengenai karakter dan watak. Bahkan, ada kelas yang kita perlu ikuti juga untuk mantapkan kemahiran lakonan,” kongsinya yang memegang watak sebagai Putra.

Kongsi Zam lagi, jalan cerita yang ditonjolkan dalam karya tulisan Adam Tahir itu juga disifatkan cukup menarik. Katanya, ini kerana ia menceritakan mengenai pelaburan mata wang digital, Kripto.

“Pada awalnya, watak Putra ini berdepan konflik dan dilema apabila terpaksa bekerja di sebuah kafe selepas menjadi mangsa dalam skim pelaburan palsu.

“Bagaimanapun, dia kemudian terlibat dalam pelaburan mata wang digital, Kripto untuk mengubah nasib hidupnya. Pada masa sama diselitkan juga kisah percintaan apabila bertemu dengan wanita bernama Mira yang dilakonkan oleh Nurul Hida,” katanya yang memberitahu penggambaran telefilem itu banyak mengambil latar tempat di Perak.