Kata Anuar atau nama sebenarnya, 45, Shahrul Anuar Zain, biarpun pernah trauma apabila kehilangan suara tahun lalu yang menyebabkan beberapa konsert besar terpaksa dibatalkan, beliau kini yakin keadaan kesihatannya semakin baik. 

"Vokal sudah semakin okey. Saya yakin akan dapat memberikan persembahan yang baik dan dapat menghiburkan penonton. 

"Memang ada risikonya namun saya bersedia untuk menyanyi di atas pentas yang besar. Insya-Allah, semuanya dalam keadaan yang baik-baik sahaja dan doktor mengatakan sebegitu," kata pelantun lagu Sedetik Lebih ketika ditemui Kosmo! di Hotel Traders, Kuala Lumpur sebentar tadi. 

Mengulas lanjut tentang konsert berkenaan yang mengunakan khidmat Sze Wan sebagai pengarah muzik serta dianjurkan oleh Kharisma Entertainment, beliau akan menyanyikan lebih kurang enam buah lagu serta berkongsi pentas dengan dua penyanyi lain, Bunga Citra Lestari dan Yuka. 

"Saya rasa seronok untuk mengadakan persembahan selepas mengalami masalah vokal tahun lalu. Tambah lagi berkongsi pentas dengan BCL dan Yuka," jelas Anuar.

Kepada para peminat yang ingin menyaksikan konsert berkenaan, tiket sudah mula dijual melalui laman web www.yuka.com.my dan www.tickethotline.com.my. Tiket bermula pada harga RM2199 (intimate), RM1599 (platinum), RM588 (diamond), RM488 (gold), RM388 (silver), RM288 (bronze) dan RM188 (regular). - K! ONLINE