Di sebalik tanggapan sebegitu tidak banyak yang tahu, fesyen merupakan suatu bidang yang besar impaknya terhadap khalayak, sementelah ia mampu menjadi nilai tambah terhadap perkembangan ekonomi negara.

Perkara tersebutlah yang ingin dimasyhurkan pengusaha butik fesyen dan kosmetik Vivy Yusof menerusi program realiti terbaharu yang diberi judul GenF: Generai Fesyen (GenF).

Menerusi program terbitan bersama Astro tersebut, Vivy selaku juri tetap dan mentor cuba membuka dimensi baharu terhadap peserta dalam memberi kefahaman berbeza mengenai fesyen.

“Jika diteliti, kebanyakan nama pereka fesyen tempatan hanya gah ketika musim perayaan. Hal ini terjadi barangkali disebabkan oleh mentaliti khalayak sendiri yang tidak gemarkan fesyen atau tidak berani untuk mencuba sesuatu yang baharu.

“Sehingga mereka takut untuk menghasilkan koleksi mengikut musim atau koleksi kecil berbentuk kapsul.

“Jadi, menerusi program realiti GenF, saya berharap agar mentaliti tersebut berubah. Pereka fesyen menjadi berani menghasilkan lebih banyak koleksi dan orang awam juga lebih yakin untuk melaram,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar GenF yang diadakan di ibu kota baru-baru ini.

Variasi

Menerusi GenF, sebanyak 10 jenama tempatan yang diwakili oleh dua pereka telah terpilih untuk bertanding selama lapan minggu.

Sepanjang tempoh tersebut, peserta akan diberikan pelbagai cabaran dan diakhiri dengan pertunjukan fesyen pada akhir rancangan.

Antara jenama yang terlibat termasuklah Kahou yang diwakili oleh Hou dan Yoong Jia Yi, Lolo (Peh dan Ivy), HN (Hanif Naim dan Filzah Zaidi), Wan & Mary (Lee dan Mariam Musa) serta Calaqisya (Farah Azrina Khairuddin dan Hadi Aizat).

Dalam masa yang sama, jenama Jubahsouq (Fameiza Kasim dan Fatin Sakinah), Ridzuan Alias (Ridzuan Alias dan Nasyreen ‘Aminah), Larf (Latifi dan Black), Seth & Luna (Jimiey Whang dan Irie Mohamed) serta Clothesology (Aynaa Manan dan Mujahidah) turut mengambil bahagian.

Berbicara lanjut, Vivy atau nama penuhnya, Vivy Sofinas Yusof, 31, berkata, sengaja pihak produksi GenF menyenarai pendekkan peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman.

“Jika kita lihat, ada antara peserta yang telah lama membina kerjaya dalam industri fesyen. Mereka lebih dikenali dalam kalangan pengguna.

“Kami sengaja berbuat demikian kerana mahukan variasi dan dalam masa sama memberikan peluang sama rata kepada pengusaha fesyen baharu dan lama,” katanya lagi.

Bercakap mengenai tugasnya sebagai juri tetap, Vivy yang sebelum ini pernah muncul dengan rancangan realiti Love, Vivy selama dua musim itu berkata, peserta dinilai berdasarkan banyak aspek. Antaranya hasil kerja, kehalusan rekaan dan sikap ketika menyiapkan tugasan.

“Kami menitik beratkan kualiti dan mahukan hasil yang terbaik daripada peserta.

“Justeru, setiap penilaian dilakukan secara teliti supaya jenama yang benar-benar layak akan dinobatkan sebagai juara,” katanya yang berharap GenF bakal mengubah landskap industri fesyen secara total pada masa akan datang.

Pengalaman

Selain Vivy, hasil kerja 10 jenama yang terlibat dalam GenF turut diadili oleh pereka fesyen tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim.

Meletakkan piawaian tinggi, pereka fesyen yang cukup sinonim dengan kehalusan perincian rekaannya itu mahukan peserta lebih terbuka dengan kritikan dan bersedia untuk belajar.

“Saya anggap program GenF ini sebagai pusat rehab fesyen yang berupaya untuk membantu pereka-pereka ini memahami tugas sebenar seorang pereka fesyen.

“Disebabkan itu, saya berharap mereka menggunakan peluang yang ada ini sebaik-baiknya untuk terus maju dan menghasilkan rekaan yang lebih berkualiti,” katanya membuka bicara.

Rizalman, 48, menyifatkan program tersebut sebagai platform terbaik buat pereka sedia ada untuk menelaah proses pembikinan busana secara tepat.

“Saya bersetuju untuk menjadi juri dan terlibat dengan GenF disebabkan mahu berkongsi pengalaman selama 25 tahun dalam bidang ini bersama pereka baharu. Mereka kena sedar bahawa menjadi pereka bukan sekadar mempunyai satu koleksi dan mempromosikannya menerusi Instagram.

“Ini adalah realiti sebenar dan banyak perkara yang perlu dilalui bagi menghasilkan sesebuah rekaan. Menerusi GenF, penonton boleh menilai kredibiliti sesebuah jenama atau pereka mengikut prestasi mereka. Jika kamu bagus, maka baguslah jenama kamu (peserta),” ujar Rizalman tegas.

Komoditi

Berkenaan dengan impak program sebegini kepada masyarakat, Rizalman mahu melihat penonton untuk tidak memandang fesyen sebagai bidang yang tidak boleh membawa sebarang keuntungan atau kejayaan pada seseorang.

“Kita mahu cuba mengangkat martabat industri fesyen ini ke peringkat yang lebih tinggi, bukan sekadar tanda pagar #OOTD (outfit of the day) dengan gambar bergaya di tepi dinding pusat beli-belah Pavilion semata-mata.

“Jadikan bidang fesyen sebagai satu komoditi yang berguna pada ekonomi negara, sama seperti emas, timah dan getah.

“Agar suatu hari nanti, apabila anak dan cucu kita mahu melibatkan diri dalam bidang fesyen, kita sudah sedia tahu yang bidang ini ada hala tuju untuk kestabilan masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Rizalman berharap agar GenF juga menjadi pemangkin buat khalayak untuk tidak merosakkan nilai seni yang ada pada bidang fesyen.

“Bidang fesyen sangat besar impaknya kepada kita. Ia boleh membina tamadun dan mengubah ekonomi sesebuah negara.

“Justeru, jangan perkosa industri ini dengan menghasilkan rekaan yang cacamarba. Begitu juga dengan artis yang cuba menjual baju tanpa mempunyai asas dalam fesyen.

“Selagi saya masih hidup dan ada dalam bidang ini, jangan ada yang berani berbuat demikian,” tutup Rizalman.

Juara GenF akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 sumbangan Astro dan koleksi kapsul tajaan FashionValet yang bakal dipasarkan menerusi butik FashionValet dan platform e-dagang Go Shop.

Disiarkan bermula 11 Mac pada pukul 9 malam menerusi Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123), GenF menampilkan aktor kelahiran Singapura, Hisyam Hamid sebagai pengacara.