Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 30, berkata, walau bagaimanapun mereka masih dalam proses untuk mendapatkan visa.

"Saya sememangnya merancang untuk berangkat ke Mekah pada 4 Ogos ini. Namun masih dalam proses untuk mendapatkan visa kerana banyak perkara yang masih belum lengkap.

"Ibadah pada kali ini saya akan menunaikan haji bersama ibu dan dua adik lelaki. Saya teruja kerana menunaikan haji bersama keluarga dan mempunyai masa untuk membuat persiapan," katanya ketika ditemui Kosmo! Online pada sesi rakaman Naura Shares di sini.

Kali pertama Neelofa menunaikan haji adalah pada tahun 2016 dan dia merancang untuk menunaikan ibadah tersebut setiap tahun.

"Ibadah pada kali ini merupakan sebahagian daripada perancangan saya. Saya memasang impian untuk menunaikan haji setiap tahun," katanya.

Neelofa berkata, kali kedua melaksanakan ibadah kelima rukun Islam tersebut, dia teruja kerana menunaikan ibadah berkenaan bersama keluarga selain berhasrat membaiki hubungan dengan Allah.

"Perkara yang saya nantikan adalah wukuf di Arafah dan berdoa sebanyaknya kepada Allah.   Saya memohon doa semua pihak supaya semuanya berjalan lancar," katanya. - K! ONLINE