Lan juga memohon agar warga net berhenti memanjangkan kes pukul pengawal keselamatan,  Pak Ya kerana mereka berdua sudah pun berdamai.

“Saya takut mati tanpa sempat minta maaf jadi Alhamdulillah, Pak Ya dan keluarga pun telah memaafkan kekhilafan saya dan tidak mahu isu ini dipanjangkan lagi.

“Kita pun akan menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi jadi marilah kita sama-sama bersihkan jiwa masing-masing,”katanya pada sidang akhbar Maafkan Kami: Lan Pet Pet dan Pak Ya di i-Cafe Bikestation Food Court, Sungai Buloh, sebentar tadi.

Ahli kumpulan lawak Senario itu telah didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban selepas mengaku salah memukul pengawal keselamatan berkenaan pada 6 April lalu.

Lan mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Beliau mengaku melakukan kesalahan itu di Acacia Park Desa Jati, Nilai, pada 6 April lalu. Pelakon filem Zombie Kampung Pisang itu kemudian membayar denda yang dikenakan. - K! ONLINE