Sebelum itu, suasana agak kecoh apabila Hasnah, 59, dipaksa untuk membayar sejumlah wang sebanyak RM20,000 secara tunai kerana didakwa tersilap melakukan tempahan sebuah kerusi urut.

Hasnah yang terkejut dengan kejadian tersebut bagaimanapun kembali tenang selepas menyedari penghantar barang tersebut adalah anaknya Fizo Omar yang menyamar sebagai kakitangan Ogawa.

Menurut Fizo, setiap tahun ketika sambutan ulang tahunnya dia akan merancang untuk melakukan kejutan terhadap ibunya.

“Saya risau juga untuk meneruskan perancangan kejutan ini kerana khuatir dengan keadaan ibu.

“Melihat ibu menangis, saya lagi rasa serba salah. Alhamdulillah, semua kembali tenang selepas ibu mengetahui identiti saya,” katanya.

Meskipun ini adalah tahun pertama Fizo menyambut ulang tahun kelahirannya sebagai duda anak satu, dia tidak berasa sedih atau kekurangan.

Dedahnya, bekas isteri, Mawar turut menghantar ucapan sempena ulang tahunnya ke-34 yang jatuh pada 19 Julai (semalam).

“Saya tidak anggap perceraian sebagai kekurangan kerana saya masih ada keluarga dan ibu,” katanya. - K! ONLINE