Apatah lagi dengan dirinya yang masih belum mendirikan rumah tangga, pasti ada sahaja usikan nakal dan mata-mata jejaka yang memandang.

Bersua dengan pelakon yang terkenal menerusi drama Curi Curi Cinta itu, Uyaina diusik tentang persoalan hati.

Apatah lagi, dia jarang berkongsi tentang kisah peribadinya di laman sosial jauh sekali bertebarannya gosip cinta melibatkan dirinya dengan mana-mana lelaki.

Sempat tertawa saat menjawab tentang ‘kumbang’ yang berjaya mengisi hatinya, gadis berusia 26 tahun ini sebenarnya lebih selesa untuk menyimpan kemas tentang kisah peribadi.

Ironi, dia juga tidak lokek berkongsi sedikit ceritera cintanya.

“Benar, di laman sosial, saya memang tidak mempamerkan tentang kisah peribadi sebaliknya lebih gemar berkongsi mengenai kerja dan keluarga. Bukan apa, saya rasa kisah peribadi bukanlah keutamaan buat masa ini.

“Apapun, saya sedang mengenali seseorang tetapi kami lebih selesa bersikap sederhana. Adakah dia individu yang terlibat dalam industri sama atau tidak, saya tidak mahu menjawabnya,” tuturnya sambil tertawa namun jelas terpancar cahaya bahagia.

Dihargai

Lebih membahagiakan pemilik nama sebenar Shaidatul Naseha Uyaina Arshad itu apabila jejaka tersebut turut menyatakan kesanggupan untuk menjaganya selepas dirinya disahkan menghidap penyakit komplikasi jantung takikardia supraventrikel (SVT) dan injap jantung sekitar Mac lalu.

“Saya bersyukur kerana dia okey apabila dia dapat tahu tentang penyakit saya itu, bahkan dia juga bersedia untuk menjaga saya.

“Dengan keadaan yang sakit, kita kena cari lelaki yang betul-betul mahu bersama saat susah dan senang bukannya apabila dapat tahu, terus menjauhkan diri. Saya bertuah mengenali dirinya,” ujar Uyaina yang akan menguar-uarkan seandainya dia mahu menamatkan zaman bujang kelak tanpa memperincikan mengenai kekasih hati itu.

Rezeki

Menghormati ruang privasi si empunya diri. Kisah peribadinya ditutup rapi. Uyaina diajak pula berbicara tentang kerjanya yang dilihat semakin berkilau lebih-lebih lagi selepas muncul dalam drama Curi Curi Cinta.

“Alhamdulillah, daripada drama itu, ia membuka banyak peluang dan ruang kepada saya untuk terus mendapat tempat dalam industri lakonan.

“Daripada situ, nama saya semakin dikenali bahkan bakat lakonan juga boleh dikatakan semakin disedari. Susah sebenarnya untuk dikenali sebagai pelakon lebih-lebih lagi nama kita sudah kukuh sebagai pengacara,” ujarnya yang memanjat kesyukuran dan bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada barisan pelakon drama berkenaan.

Tambah Uyaina lagi, dia tidak menolak kemungkinan, Curi Curi Cinta juga menyebabkan dia ditawarkan untuk berlakon dalam sebuah mega drama.

Bagaimanapun, dia terpaksa menolak daripada membintangi drama berkenaan kerana terikat dengan dua projek pengacaraan di Jakarta, Indonesia tidak lama lagi.

Di sebalik kekecewaan kerana tidak dapat menerima naskhah yang besar dengan tawaran watak utama itu, gadis yang mula dikenali setelah memenangi Pencarian Nona Manis 2015 ini berharap agar akan ada lagi tawaran seperti itu selepas ini.

Batas

Bukan mudah mahu melayari industri hiburan lebih-lebih lagi dengan imej bertudung. Apatah lagi si empunya diri sebelum ini pernah merangkul gelaran Juara Puteri Muslimah 2018. Pasti segenap sudut, harus dijaga rapi bagi mengelakkan diri daripada ditembak peluru kecaman daripada netizen.

“Sebenarnya, memang susah terutamanya apabila memegang gelaran sebagai puteri Muslimah. Hal ini kerana, apa sahaja kita lakukan dan pakai, semua akan menjadi tumpuan.

“Seperti sebelum ini, saya pernah dikiritik kerana meletakkan kaki di atas kerusi semasa menonton konsert Ed-Sheeran. Sedangkan tindakan itu hanyalah sekejap untuk bergambar. Apapun komen negatif, saya ambil tindakan untuk tidak menghiraukannya," jelasnya yang akan sekat (block) setiap akaun yang meninggalkan komen negatif di laman Instagramnya.

Tambah Uyaina lagi, dia berpendapat tidak perlu untuk berubah menjadi individu lain seperti netizen mahukan.

“Bagi saya, jadilah diri sendiri tetapi mestilah tahu batas-batas sebagai seorang Muslimah.

“Saya tahu batas lebih-lebih lagi apabila sudah mula berlakon,” ujarnya.