Penegasan itu diutarakan Nik Michael Imran, 29, apabila ditanya tentang perdebatan tukang masak profesional terhadap kewujudan cef selebriti segera dalam laman sosial yang kebanyakannya hanya berpaksikan populariti tetapi mengabaikan harga sebuah seni kulinari.

Menurut bekas peserta program Masterchef Malaysia musim pertama itu, industri kulinari yang kecil seperti Malaysia memerlukan sokongan kuat antara satu sama lain dalam usaha memartabatkan makanan tempatan ke persada dunia.

Ikuti penjelasan daripada Nik Michael ketika ditemui pada majlis pelancaran produk minyak sawit jenama ALIF keluaran Sime Darby Oils di Hotel Grand Hyatt, ibu kota baru-baru ini.

KOSMO!: Bolehkah ceritakan tentang penglibatan Nik Michael dalam program Mastaclass Goreng anjuran Minyak Masak ALIF?

NIK MICHAEL: Program itu akan bermula pada 16 September ini menerusi Facebook rasmi Minyak Masak ALIF secara langsung dan YouTube Alif Satar. Menerusinya, seramai 20 peserta akan dipilih untuk bertanding dalam program Mastaclass Goreng bersama saya dan Alif Satar. Kriteria yang diperlukan tidak semestinya wajib pandai memasak tetapi lebih kepada bagaimana cara untuk menggunakan minyak masak sawit dengan betul. Sebarang maklumat lanjut boleh layari Facebook rasmi Minyak Masak ALIF.

Difahamkan anda sebenarnya mengalami kecederaan pada bahagian tangan. Bolehkah ceritakan lanjut?

Saya mengalami kecederaan ini sejak lebih enam minggu lalu. Puncanya daripada aktiviti memasak setiap hari. Angkat periuk berat dan lambung kuali, jadi otot saya bekerja keras menampung beban yang berat. Doktor kata kecederaan ini disebabkan saya terlebih guna tenaga. Ditambah pula saya gemar melakukan aktiviti berbasikal. Tetapi alhamdulillah, ia tidaklah serius mana cuma agak sedikit lambat untuk sembuh. Buat masa sekarang, saya masih berasa sedikit kekok untuk memegang kuali seperti biasa.

Sejak beberapa tahun kelibat anda kurang kelihatan dalam arus media perdana berbanding sebelum ini. Adakah anda selesa dengan keadaan ini?

Saya sentiasa sibuk dengan kerjaya setiap hari. Meskipun tidak banyak seperti dahulu tetapi saya masih terlibat dalam program masakan televisyen. Saya selesa dengan kedua-duanya. Sama ada dikenali di televisyen ataupun tidak. Sebab perkara paling penting dalam hidup saya adalah masakan. Tanpa publisiti daripada media atau tidak, kelangsungan hidup saya tetap berjalan seperti biasa.

Berbicara tentang dunia masakan, sebelum ini pernah timbul isu teguran daripada cef profesional terhadap golongan cef selebriti segera dalam media sosial. Sebagai salah seorang cef profesional, mungkin anda ada pendapat sendiri tentang isu itu?

Perkara ini sudah lama timbul. Saya pun sudah bosan menjawab tentangnya. Sebab pada akhirnya nanti, hanya kualiti makanan yang terbaik berjaya menambat hati orang. Bagi pendapat saya, masing-masing ada populariti sendiri. Sedap atau tidak, itu semuanya subjektif. Apa yang penting adalah sekarang kita perlu bersatu hati untuk menyokong satu sama lain. Dalam industri, kita sebenarnya kekurangan sokongan. Sudahlah ruang lingkung industri kita sangat kecil. Jadi, hentikanlah perkara negatif. Berusahalah untuk membawa makanan lokal ke peringkat lebih tinggi. Makanan Malaysia sangat kaya dengan rasa tetapi hakikatnya kita menyimpannya dekat dengan diri sendiri sehingga tidak berkongsi dengan orang lain. Seperti contoh saya berikan adalah untuk makanan Thailand. Semua orang sukakannya dan ia mudah dicari di mana-mana. Contohnya, sos ikan yang sangat mudah dijumpai di mana-mana tetapi mengapa begitu sukar mencari makanan kita, belacan.

Baiklah, bagaimana pula dengan kehidupan peribadi anda bersama keluarga dan anak kecil?

Alhamdulillah, saya sangat seronok menjadi seorang bapa. Saya banyak luangkan masa bersama anak yang kini sudah pun berusia sembilan bulan. Hampir setiap hari saya masak untuk anak dan beri dia rasa macam-macam jenis makanan. Begitulah rutin harian saya, bekerja dan bermain dengan anak. Selain itu kerap juga saya melakukan aktiviti berbasikal.