Bapa kepada Ungku Arsalan Haq yang kini berusia 10 bulan itu berkata, pengalaman membina nama dalam industri seni antara faktor utama dia menghalang putera sulungnya terjun ke dunia glamor.

Menurut Ungku Hariz, 34, dia tidak bersedia untuk melihat Ungku Arsalan menempuh laluan sukar seperti yang dihadapinya dalam membina nama.

Meskipun begitu, sekiranya ditakdirkan Ungku Arsalan menjadi anak seni, dia dan isteri akan mempersiapkan cahaya mata mereka itu dengan ilmu seni secukupnya.

KOSMO!: Ungku Arsalan kini dilihat semakin bijak, apa perkembangan baharu putera sulung anda?

UNGKU HARIZ: Bayi sememangnya cepat membesar. Setiap hari dia mempunyai kerenah baharu. Terkini dia sudah pandai marah dan memanggil saya dan Jihan dengan panggilan ‘ama’ dan ‘apa’. Selebihnya, Arsalan sedang cuba belajar untuk berjalan.

Selepas hampir setahun bergelar bapa, bagaimana kelahiran Ungku Arsalan mengubah corak kehidupan anda?

Arsalan membuatkan saya semakin matang. Jika dahulu saya gemar melepak hingga lewat malam, sekarang setiap kali mempunyai masa terluang, saya mengisi masa berkenaan bersama Arsalan. Tetapi perkara yang paling tidak diterima akal, saya sudah tahu harga sayur setiap pasar raya.

Sepanjang bergelar bapa, apakah momen yang menyebabkan anda mahu pulang ke rumah setelah penat bekerja?

Senyuman Arsalan adalah pengubat kepenatan saya. Setiap kali pulang daripada kerja dan anak menyambut saya di pintu, momen berkenaan paling saya nantikan.

Alhamdulillah, Arsalan masih mengenali siapa bapanya walaupun saya jarang menghabiskan masa bersamanya kerana kesibukan kerja.

Ramai dalam kalangan pasangan selebriti mendedahkan anak mereka dengan dunia hiburan. Bagaimana pula dengan anda dan isteri?

Kalau boleh saya tidak mahu dia menjadi pelakon. Sepanjang lebih sedekad dalam industri seni saya berdepan dengan pelbagai dugaan.

Justeru, saya tidak mahu dia menempuh kesukaran yang sama.

Andai kata Ungku Arsalan berminat dengan dunia seni, adakah anda akan menghalang?

Sekiranya dia serius mahu terlibat dalam industri hiburan, dia harus memiliki ilmu seni. Saya akan memberikan sokongan penuh. Syaratnya dia harus tuntut ilmu dengan saya.

Dunia seni kelihatan indah di luar, tetapi penuh dengan dugaan. Arsalan perlu membuat persiapan rapi dan perlu kuat untuk berhadapan dengan semua cabaran dunia seni.

Apakah perancangan anda pada tahun depan?

Alhamdulillah berkat rezeki anak, sepanjang tahun 2018 sehingga kini jadual saya padat dengan aktiviti seni. Pada tahun depan, saya berkemungkinan terlibat dalam pembikinan sebuah filem bergenre seram. Saya harap rezeki kami sekeluarga akan bertambah.