Berita gembira berkenaan dikongsi oleh Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah semasa sidang akhbar pengumuman konsert yang berlangsung di Istana Budaya bermula 20 hingga 23 Disember depan.

“Terdapat salah satu malam untuk VVIP iaitu pada 22 Disember nanti akan menampilkan Tun Dr. Siti Hasmah.

“Istimewanya Tun akan menggesek biola mengiringi nyanyian saya bersama Datuk M. Nasir untuk sebuah lagu,” katanya ketika sidang akbar konsert berkenaan sebentar tadi.

Tambah Jamal, segmen berkenaan sengaja diadakan bagi mengutip dana untuk disalurkan kepada golongan kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim dan pusat jagaan orang tua.

“Kami akan menjemput mana-mana badan korporat untuk hadir menghulurkan bantuan, dalam masa sama mereka boleh berhibur.

“Saya juga terharu apabila Tun begitu teruja dan menerima pelawaan saya ini dengan hati terbuka. Malah, Tun Dr. Mahathir juga akan datang menonton konsert pada malam VVIP nanti,” katanya.

Selain tetamu VIP, penyanyi dari Australia, Cassidy Anderson juga akan dipanggil sebagai artis undangan untuk keempat-empat malam konsert berlangsung. - K! ONLINE