Me menyaksikan gandingan Taylor bersama penyanyi Panic At The Disco, Brendon Urie ternyata kembali meledakkan nama penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Love Story.

Single Me yang dilancarkan bersama klip video di laman YouTube pada Jumaat minggu lalu, mencatatkan sejarah tersendiri apabila mengumpulkan 100 juta tontonan dalam tempoh kurang daripada tiga hari.

Malah pada hari pertama tayangan, klip video Me menerusi akaun rasmi Vevo telah pun mengumpulkan hampir 50 juta tontonan.

Kejayaan penyanyi yang popular dengan genre pop dan country itu bukan sahaja mengatasi rekod peribadinya, malah menumpaskan rekod milik Ariana Grande menerusi lagu Thank U Next.

Rata-rata pengkritik muzik menzahirkan keterujaan terhadap material baharu daripada penyanyi itu.

Me disifatkan sebagai kelahiran semula Taylor selepas bereksperimentasi dengan pelbagai elemen muzik.

Kembali dengan muzik asas pop dan country, percaturannya menghasilkan hubungan kimia yang memberangsangkan.

“Me adalah sebuah lagu yang mengajak sesiapa sahaja untuk menjadi diri sendiri dan percaya pada diri. Muzik yang diadun dalam lagu ini mampu menyuntik semangat semua orang.

“Tidak kira apa sahaja kritikan orang ramai mengenai diri anda, percayalah pada diri sendiri,” luah Taylor saat menggambarkan keseluruhan intipati dalam lagu baharunya berkenaan.

Bergandingan dengan Brendon Urie, penyanyi itu menyifatkan Brendon sebagai jejaka yang tepat untuk sama-sama memberi terjemahan terhadap Me.

Jelasnya, dia teringin untuk berduet bersama rakan baiknya seperti Ed Sheeran, tetapi dalam masa sama, ingin mencari rakan duet keluar daripada ruang kenalannya.

“Saya telah memerhatikan Brendon dari jauh tanpa dia sedari. Saya tahu mengenai muziknya dan secara peribadi meminati muziknya.

“Dari situ, timbul perasaan untuk berkolaborasi. Selepas bekerjasama dengan Brendon, segala tekaan saya mengenai dirinya tepat,” ulasnya penuh teruja.

Ilham

Kali terakhir tampil dengan album Reputation kira-kira dua tahun lalu, Me bakal menjadi trek pertama dalam album ketujuhnya.

Setiap kali tampil dengan identiti yang berbeza dalam setiap album, Taylor mengakui situasi itu merupakan antara tugas yang sangat sukar.

Sebagai penerbit, penulis dan komposer dalam masa yang sama, dia perlu bijak membahagikan waktu antara tugas dan rehat secukupnya.

“Saya terpaksa akui adakalanya terlalu penat untuk sentiasa berfikir dan menghasilkan muzik. Oleh kerana itu, saya memerlukan tempoh yang lebih panjang untuk berehat sebelum keluar dengan album baharu.

“Paling penting dalam penghasilan sesebuah naskhah baharu bukan sahaja kualiti, saya sendiri perlu merasakan keterujaan setiap kali bekerja keras menghasilkan lagu baharu,” tegasnya.

Katanya, kesediaan mempertaruhkan Me sebagai trek pertama dalam projek album ketujuhnya kerana lagu berkenaan menggambarkan keseluruhan album yang akan dilancarkan kelak.

Tuturnya, dia merasakan adrenalin yang berbeza sejak kali pertama merakamkan dan mendengar Me, sekali gus membuatkan dirinya tidak sabar berkongsi album penuh nanti bersama peminat.

“Semangat saya berkobar-kobar untuk menghasilkan album ini. Saya merasa lega perasaan teruja untuk menghasilkan album masih ada dalam diri saya,” luahnya.

Kanser

Tatkala galak berkongsi mengenai material terbaharunya, pemegang 10 kali trofi Grammy Awards itu bergelut dengan emosi apabila kedua ibu bapanya menderita kanser.

Sekitar tahun 2015, menerusi Tumblr, Taylor mengumumkan ibunya, Andrea Swift menghidap kanser. Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan secara terperinci jenis kanser yang dihidapi ibunya.

Selepas hampir empat tahun merawat kanser berkenaan, Andrea dikatakan kembali sihat. Namun, Mac lalu, awan hitam menyelubungi keluarga itu setelah doktor mengesahkan kanser ibunya kembali menyerang.

“Sejak mengetahui ibu menghidap kanser saya telah memandang kehidupan melalui perspektif yang berbeza. Saya tidak lagi memperbesarkan masalah yang remeh,” katanya.

Ketika ditanya mengenai masalah remeh yang dimaksudkan, Taylor tidak malu mendedahkan dia pernah berdepan kemurungan hanya 
kerana pertambahan berat badan dan kemunculan lemak pada bahagian pinggulnya.

“Seiring peningkatan usia, saya melihat tubuh badan juga mengalami perubahan drastik. Pernah satu ketika saya berdepan tekanan dengan hanya melihat lemak pada badan.

“Kini tidak lagi. Saya tidak kisah mengenai kewujudan lemak di sana sini kerana itu adalah lumrah bergelar manusia. Asalkan kita sihat itu sudah mencukupi,” katanya.

Mengulas mengenai keadaannya selepas kedua ibu bapanya yang disahkan menghidap kanser, Taylor hanya berkata, dia perlu kuat untuk berada di sisi kedua ibu bapanya.

“Pertarungan dengan kanser yang sedang dihadapi oleh ibu saya adalah masalah yang sebenar. Saya tidak boleh lemah dengan beberapa masalah peribadi.

“Setiap kali berdoa, saya akan berdoa untuk kedua ibu bapa saya,” kongsinya.

Tambahnya, perkongsian keadaan kesihatan kedua ibu bapanya dalam media sosial turut membantu proses penyembuhan mereka.

Bersyukur kerana ramai dalam kalangan peminat yang berkongsi kata-kata semangat, dia juga mahu mendidik masyarakat untuk mengambil tahu mengenai kesihatan ibu bapa mereka.

“Ibu bapa telah melakukan segala pengorbanan untuk memberikan yang terbaik dalam membesarkan anak-anak mereka. Apabila kita semakin dewasa, tiba masanya untuk membalas jasa,” katanya menutup bicara.

Selepas dua tahun tanpa sebarang produk baharu, Taylor Swift kembali merancakkan industri dengan single Me yang pantas menambat hati peminat seantero dunia.