Ironinya, drama arahan Riza Baharudin yang dilakonkan bersama pelakon Fendy Bakry tersebut bukanlah karya pertama lakonan wanita berusia 19 tahun itu.

Menurut Eyra atau nama sebenarnya, Hazirah Qasdina Hazali, dia mula melibatkan diri dalam dunia lakon layar seawal usia enam tahun. Pada waktu tersebut, kebanyakan lakonannya hanya tertumpu kepada drama kanak-kanak.

Ternyata tawaran untuk kembali beraksi di hadapan kamera benar-benar menampakkan transisi seni Eyra apabila dia kini semakin menjadi rebutan pengarah sebagai penyeri karya.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon yang pernah memenangi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik pada majlis Anugerah Sri Angkasa 2010 menerusi telefilem Anak-Anak Lorong itu.

KOSMO!: Boleh kongsikan apa yang Eyra lakukan sebelum kembali aktif dan menerima tawaran berlakon drama Mr. Grey?

Eyra: Sebenarnya ramai yang salah faham. Berlakon dalam drama Mr. Grey bukanlah kemunculan semula saya. Sebelum ini saya tetap sibuk dengan tawaran lakonan seperti berlakon drama rantaian Cinta Lemon Madu, Budak Boys dan telefilem Doa Ku Pohon.

Apakah drama kanak-kanak terakhir yang anda lakonkan?

Drama kanak-kanak terakhir yang saya lakonkan berjudul Zoo The Series dan drama ini boleh dikatakan mendapat maklum balas positif daripada penonton. Selain itu, drama kanak-kanak lakonan saya yang popular antaranya berjudul Supersmash dan Nana Nini Nunu.

Adakah sukar untuk melalui transisi daripada pelakon kanak-kanak menjadi seorang pelakon wanita dewasa?

Memang agak sukar kerana watak kanak-kanak memerlukan saya banyak membawakan karakter sedih yang hanya melibatkan dialog antara anak dan ibu bapa.

Kemudian, saya diberi karakter remaja, namun masih tidak melibatkan hal cinta. Selepas berusia 17 tahun barulah saya menerima karakter yang menuntut emosi cinta iaitu dalam drama Menjinak Ombak bersama Syukri Yahaya.

Ketika itu memang kekok dan janggal sebab tidak pernah melalui perasaan cinta. Apabila difikirkan semula, memang rasa kelakar lebih-lebih lagi dalam drama Mr. Grey yang memerlukan saya melakonkan adegan berkahwin, mengandung dan kemudian mendapat anak.

Apakah perbezaan ketara yang anda lalui selepas membintangi drama Mr. Grey?

Saya akui rezeki semakin bertambah. Jika dahulu, kehidupan saya seperti biasa, namun sekarang rasa seperti disayangi apabila sudah ada peminat minta hendak bergambar dan sering memberikan saya hadiah.

Antara hadiah yang sering saya terima adalah baju, kasut, alat solek. Mereka beri bukan untuk saya promosikan produk di Instagram tetapi sebagai tanda penghargaan.

Jika diberi pilihan, apakah watak yang anda idamkan dan kenapa?

Sudah lama saya mengimpikan untuk menjayakan watak mencabar yang memerlukan adegan pertarungan, kasar dan antagonis. Sebenarnya saya merupakan seorang pemegang tali pinggang merah untuk seni silat gayung, jadi memang saya sukakan watak aksi.

Bagaimanapun, impian itu tercapai apabila saya ditawarkan melakonkan watak Mawar, seorang wanita jahat dalam filem Ratu Kala Jengking yang baru selesai penggambaran.

Bercakap tentang umur yang masih muda, adakah anda ada merancang untuk sambung belajar?

Sebenarnya memang ada tetapi disebabkan saya banyak dapat tawaran berlakon, tiada masa untuk sambung belajar buat masa sekarang. Apabila sudah terikat dengan pengajian, memang agak sukar untuk fokus dalam kerjaya, jadi saya pilih untuk fokus kepada lakonan terlebih dahulu.

Boleh kongsikan perkembangan terkini anda?

Sepanjang bulan Ramadan ini jadual lakonan saya padat dengan penggambaran filem Ratu Kala Jengking terbitan A. Aida Production. Kemudian saya akan terlibat dengan penggambaran sebuah telefilem dan selepas itu, barulah saya akan bercuti dan fokus untuk persiapan raya.