Selepas 20 tahun kembali mengadakan persembahan di Kuala Lumpur, 911 yang terdiri daripada Lee Brennan, Simon Spike Dawbarn dan Jimmy Constable nyata teruja untuk menghiburkan peminat.

Konsert yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Quill di sini akan menyaksikan kumpulan tersebut menyampaikan 20 buah lagu termasuk The Day We Find Love dan Dont Make Me Wait: Bodyshakin.

Brennan yang tidak sabar menghiburkan seramai 1,500 peminat dalam konsert pada Sabtu ini menjanjikan persembahan yang hebat.

“Malaysia sangat dekat di hati saya begitu juga para peminat di sini. Saya terharu walaupun telah lama tidak aktif, peminat masih setia menantikan kemunculan kami.

“Sudah tentu dalam persembahan pada Sabtu ini kami akan mengeluarkan segala tenaga yang ada,” katanya ketika ditemui pada sidang media The Reunion 911 di sini.

Dawbarn pula mendedahkan, dia aktif melakukan senaman untuk meningkatkan stamina sebagai persediaan menjelang konsert The Reunion 911.

“Kami sedar semakin berusia. Jadi, saya banyak melakukan aktiviti fizikal untuk meningkatkan stamina. Saya berharap masih mampu melakukan persembahan seperti zaman muda dahulu,” katanya.

Kumpulan 911 kembali bergabung untuk sebuah rancangan realiti televisyen di United Kingdom pada tahun 2013.

Malaysia merupakan negara Asia pertama yang dilawati 911 sejak mereka kembali bergerak aktif dalam industri hiburan.

Tiket konsert The Reunion 911 dijual pada harga bermula RM98 sehingga RM598. - K! ONLINE