Bahkan, tidak keterlaluan jika dikatakan sehingga kini, walaupun dengan kehadiran muka-muka baharu, masing-masing masih lagi kekal relevan dan mempunyai pengikut tersendiri.

Maka, tidak hairanlah, dalam setiap persembahan mereka, pasti ribuan penonton datang menyaksikan konsert yang dianjurkan sebagai tanda sokongan yang tidak pernah berbelah bahagi.

Bersempena dengan kehadiran Syawal tidak lama lagi, ketiga-tiga band tersohor tanah air itu akan bergabung tenaga menggegarkan pentas bersama-sama dalam sebuah konsert Matrix Aidilfitri Festival 2018 yang diadakan di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan pada bulan depan.

Semestinya, gabungan tiga band itu merupakan antara yang ditunggu-tunggu. Ini kerana, seperti yang umum sedia maklum, setiap daripada mereka muncul dalam tiga generasi berbeza.

Apa yang pasti, gabungan tiga band itu nanti memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan sendiri peredaran muzik yang dibawakan mereka selama ini dari generasi ke generasi.

Bagi vokalis kumpulan Spider, Tam menyifatkan penganjuran konsert yang dilakukan secara percuma itu memberi satu peluang kepada peminat-peminat ketiga-tiga band itu berkumpul bersama-sama untuk mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain.

“Inilah peluangnya untuk kita bersama-sama berkumpul memandangkan konsert ini merupakan gabungan band daripada tiga generasi.

“Pada saya, ia merupakan satu penganjuran yang baik kerana inilah untuk kita kumpulkan peminat-peminat rock tanah air pada satu tempat,” katanya ketika ditemui Sensasi Bintang baru-baru ini.

Dijadualkan berlangsung pada 30 Jun ini, konsert yang dianjurkan oleh Matrix Concept Holdings Berhad itu bakal berlangsung selama tiga jam.

“Persembahan itu nanti akan menampilkan kami untuk membawakan koleksi lagu yang pernah menjadi hit sebelum ini. Setiap band juga akan berpeluang untuk membuat persembahan sekitar 40 minit.

“Kalau ikutkan permintaan daripada pihak penganjur, mereka memang meminta agar kami membawakan lagu-lagu bergenre rock sahaja.

“Tak mahu lagu-lagu yang mendayu-dayu,” kongsi Amy selaku vokalis Search yang memberitahu persembahan akan bermula pada pukul 9 malam.

Tambah Tam lagi, persiapan untuk mengadakan konsert itu juga sedang mula giat dijalankan pada Ramadan ini.

Katanya banyak aspek yang perlu diambil kira terutamanya melibatkan persediaan teknikal dalam penganjuran sesebuah konsert.

“Bulan puasa ini memang kami sudah mula melakukan latihan. Ini kerana, apabila menjelang raya nanti, masing-masing akan jadi lebih sibuk.

“Jadi, inilah masa yang sesuai untuk kita masuk studio untuk buat persediaan asas.

“Insya-Allah, Spider nanti akan menyanyikan lebih kurang tujuh hingga lapan lagu yang berentak lebih rancak sedikit,” katanya.