Floor 88 yang dibarisi oleh Ayie selaku vokalis, Zai Hamzah (gitar utama), Amir (gitar kedua), Akram (dram), Eric Fauzi (keyboard) dan Falique (bass) memutuskan prinsip berkenaan kerana tidak mahu membiasakan penganjur menawarkan hanya vokalis mengisi mana-mana persembahan.

Kata Eric, prinsip tersebut dibentuk bukan kerana cemburu atau dengki dengan rezeki secara individu, namun sejak kumpulan itu ditubuhkan pada tahun 2010, mereka sudah berjanji jika ada sebarang tawaran persembahan, ia akan melibatkan semua ahli Floor 88.

“Bagi kami, jika sekali Ayie dilepaskan menyanyi secara solo untuk persembahan, lama-kelamaan pihak penganjur akan meletakkan persepsi bahawa seorang sahaja sudah cukup untuk mewakili Floor 88.

“Namun, syarat ini hanya tertakluk untuk bidang nyanyian. Jika ada yang mahu mencuba seni tarian atau lakonan yang tidak berkaitan muzik, kami sentiasa memberikan sokongan,” kata Eric ketika ditemui dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan, baru-baru ini.

Mengakui pernah menerima tawaran membuat persembahan secara solo, Ayie pula berkata, dia akan menolak dengan baik dan menjelaskan bahawa Floor 88 ialah mereka berenam dan bukan dia seorang.

“Kami bermula dan naik bersama jadi saya tidak mahu merosakkan silaturahim dengan meninggalkan kawan-kawan di belakang. Jika ada rezeki, biar ia dikongsi sama rata,” jelas Ayie.

Terakhir

Sementara itu, bercakap mengenai single terbaharu mereka bertajuk Aqilah, Zai memberitahu, single berkenaan akan menjadi lagu terakhir Floor 88 yang menggunakan nama wanita selepas kali pertama dengan Zalikha.

Selepas mendapat sambutan hangat menerusi dua judul lagu berkenaan, sudah tiba masa untuk mereka mencuba genre dan konsep baharu menerusi lagu ketiga yang dijangka dilancarkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Biarpun begitu, Floor 88 masih mengekalkan sentuhan Zalikha dalam elemen muzik kerana berasa aspek tersebut adalah identiti yang menjadikan mereka dikenali dalam kalangan peminat.

“Single ketiga kami akan berentak balada kerana sudah menerima banyak permintaan agar Floor 88 mencuba genre baharu selepas dua lagu rancak yang sudah mengumpul peminat tersendiri.

“Insya-Allah, lagu ini sedang dalam proses rakaman dan tinggal sedikit lagi untuk menyudahkannya. Kami ada memperdengarkan sedutan lagu baharu ini dalam laman Instagram baru-baru ini dan ia mendapat respons positif peminat,” jelasnya Zai.