Bagaimanapun, terdapat satu perkara yang membuat mereka nekad menubuhkan sebuah kumpulan yang diberi nama The Celepets iaitu minat terhadap mengadakan aktiviti-aktiviti amal bagi membantu golongan memerlukan.

Siapa sangka kumpulan yang ditubuhkan dengan niat sekadar ingin mencuba kini sudah melangkah lebih jauh daripada yang pernah mereka bayangkan dan dalam masa sama menjadikan Atilia, Dynas, Sazzy, Serena, Daphne dan Aishah semakin rapat antara satu sama lain.

Kata Daphne, dia tidak lagi menganggap rakan-rakannya itu hanya seperti kawan biasa bahkan sebagai adik-beradik yang sentiasa ada untuk satu sama lain.

“Mungkin sebab kami bermula dengan niat yang baik maka hubungan persahabatan yang dijalin ini semakin erat dan mesra.

“Sejak The Celepets ditubuhkan, kami sentiasa berhubungan hampir setiap hari walaupun sudah tidak boleh meluangkan masa bersama seperti dahulu kerana masing-masing sudah berkeluarga,” kata Daphne ketika ditemui pada Malam Amal dan Iftar bersama Celepets di Publika, Jalan Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jujur

Perkara sama diakui Atilia yang turut mendedahkan, sepanjang bersahabat mereka tidak pernah bergaduh besar sehingga bermasam muka berhari-hari atau menjauhkan diri daripada kumpulan.

Mengakui kesemua ahli sangat matang dan mengamalkan sikap berterus-terang jika wujud salah faham, pelantun lagu Indah itu sangat bersyukur menjadi sebahagian daripada keluarga kecil The Celepets yang bersama-samanya ketika susah dan senang.

“Tiada rahsia antara kami bertujuh. Semuanya dikongsikan termasuk hal peribadi, kerjaya dan anak-anak. Saya dan Dahpne pernah mengharungi detik sukar sewaktu perceraian dengan bekas suami masing-masing.
“Mungkin The Celepets tidak selalu memuat naik gambar bersama di media sosial, namun hakikatnya kami bercakap setiap hari menerusi telefon dan Whatsapp,” jelasnya lagi.

Selain itu, Sazzy juga sempat menambah, persahabatan mereka kekal sehingga kini kerana tidak pernah timbul perkataan cemburu antara ahli The Celepets, terutama dari segi tawaran kerjaya dalam industri.

Saling menyokong sesama mereka, sudah menjadi kebiasaan buat ahli The Celepets saling membahagikan peluang kerja antara mereka jika salah seorang tidak mempunyai masa menerima tawaran tersebut.

“Kalau ada tawaran mengacara yang ditawarkan kepada saya tetapi saya sibuk, saya akan tanyakan sesiapa di dalam The Celepets yang boleh menggantikan tempat saya.

“Malah jika ada penganjur memilih Aishah berbanding saya, saya langsung tidak berasa ralat atau cemburu kerana jika bukan rezeki saya, tawaran kerja itu milik adik-beradik saya,” jelasnya lagi.

Istimewa

Menyentuh tentang sambutan ulang tahun ke-10 The Celepets, Aishah berkata untuk Malam Amal dan Iftar bersama Celepets yang dianjurkan setiap tahun, mereka sepakat mahu menjadikannya lebih istimewa.

Jika sebelum ini mereka hanya meraikan golongan asnaf dalam majlis berbuka puasa, kali ini The Celepets dengan kerjasama bersama Mompreneur Asia dan Kindness Asia telah melancarkan sebuah program dikenali sebagai Power to Empower (Program mentor The Celepets) untuk 10 orang ibu tunggal terpilih.

Menerusi program tersebut, 10 orang ibu tunggal berkenaan akan menghadiri kursus intensif selama tiga bulan untuk mempelajari pelbagai ilmu dalam dunia perniagaan dengan harapan mampu membantu dalam usaha mencari sumber pendapatan yang lebih tetap.

“Idea ini timbul kerana kami tidak mahu mereka selesa dengan sumbangan yang diterima sebaliknya belajar untuk berdikari dengan apa yang mereka pelajari dalam kursus itu kelak.

“Kriteria yang kami cari ialah mereka yang benar-benar berminat, sanggup memberi komitmen untuk tiga bulan dan pastinya kepada yang lebih memerlukan,”jelasnya yang turut menyatakan proses pemilihan masih lagi berjalan.

Sempena meraikan tahun ke-10 kelahiran The Celepets, Atilia Haron, Dynas Mokhtar, Yasmin Hani, Sazzy Falak, Serena C, Daphne Iking dan Aishah Sinclair telah melancarkan program amal membantu golongan ibu tunggal terpilih.