Paling memukau sudah tentu penyanyi utamanya, Datuk A. Rahman Hassan yang masih setia dengan imej kugiran era 1960-an setiap kali berada di atas pentas persembahan – berkaca mata hitam, berpakaian seragam bersama semua anggota kumpulan dan tidak ketinggalan, sebuah gitar di tangan.

Tanpa lelah sejak tahun 1965, sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Ampang, Selangor semalam akibat serangan angin ahmar pada usia 73 tahun, pemilik nama penuh Abdul Rahman Hassan itu tidak pernah berhenti dalam perjuangannya untuk mengangkat martabat irama pop yeh yeh ke tahap yang lebih tinggi.

Cintanya terhadap muzik begitu tinggi, malah pernah memberitahu penulis secara peribadi bahawa beliau tidak akan berhenti beraksi di atas pentas menghiburkan peminat melainkan dijemput Ilahi.

Perkara tersebut turut diakui oleh rakan artis seangkatan yang juga sahabat baiknya, penyanyi Datuk Jeffrydin. Katanya, Allahyarham dalam perancangan untuk mengadakan sebuah konsert pop yeh yeh berskala besar di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada tahun depan.

“Sebenarnya arwah sudah merancang untuk mengadakan konsert pop yeh yeh secara besar-besaran di Stadium Negara. Arwah sedang dalam proses mencari penaja, biarpun kesihatannya turun naik, arwah tidak pernah menghentikan perjuangan muziknya.

“Saya sedih kerana arwah tidak sempat melaksanakan apa yang dirancang. Namun, sebagai sahabat dan rakan sealiran muzik, saya akan terus menyambung perjuangan irama pop yeh yeh,” kata Jeffrydin yang kali terakhir berbicara dengan arwah sekitar beberapa hari sebelum 1 Syawal.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, aktor Khir Rahman, 46, juga tidak menyangka sambutan Syawal tahun ini merupakan kenangan terakhirnya bersama bapanya.

Bagai diputar skrin di depan matanya, masih terbayang gelak dan tawa serta senda gurau bapanya ketika mereka sekeluarga berkumpul pada sambutan raya baru-baru ini.

Sebelum itu, arwah bapanya terlebih dahulu ditahan di Hospital Kuala Lumpur selama tiga hari kerana masalah paru-paru berair dan jantung bengkak, namun beliau dibenarkan keluar pada 3 Jun lalu.

“Kenangan terakhir saya bersama abah (panggilan untuk A. Rahman) adalah kami sekeluarga pergi beraya di rumah keluarga arwah ibu di Kepong, Kuala Lumpur.

“Meskipun baru keluar hospital, abah seperti biasa, masih berselera makan dan suka bergurau,” ujar Khir dalam nada sedih.

Tambah Khir, arwah bapanya seakan tahu yang ajalnya hampir tiba apabila meminta cucu, Irwan Shah, 2, yang merupakan anak kepada adik bongsunya, Khairulazmi untuk menyambut ulang tahun kelahirannya yang jatuh pada 13 Jun di kediamannya.

“Saya sedikit terkesan apabila arwah bapa mahu cucunya, Irwan Shah menyambut ulang tahun kelahiran di rumahnya. Nampaknya, memang apa yang diinginkan benar-benar berlaku apabila semua cucu dan keluarga berkumpul di rumahnya disebabkan pemergiannya hari ini (semalam),” tutur Khir yang memegang nasihat arwah bapanya supaya menjadi seorang Muslim yang baik.

Pemimpin

Sejak dari awal kemunculan bersama Orkes Nirwana yang turut dianggotai oleh isteri pertamanya, Allahyarham Azizah Mohamad, A. Rahman sudah menunjukkan kualiti seorang pemimpin.

Di bawah pimpinannya, kumpulan tersebut memiliki banyak lagu hit malar segar antaranya, Tak Mengapa, Bimbang, Hanya Untukmu, Perpaduan Hidup dan Kerana Fitnah. Malah, Orkes Nirwana mampu bertahan sebagai sebuah kumpulan sehingga lebih lima dekad.

Hal yang sama turut diakui oleh isterinya, pelakon Datin Fadilah Mansor, 59. Akibat keletihan dan tidak kuat berdepan situasi pilu tersebut, Fadilah sebenarnya pengsan di rumah ketika majlis pengebumian berlangsung.

Diminta meleraikan suara hati, Fadilah yang sempat berkongsi hidup dengan A. Rahman selama empat tahun itu mengambil masa untuk menyusun kata-kata.

Sambil menyengkang air mata yang mengalir deras ke pipinya, Fadilah menyifatkan arwah suami sebagai lelaki dan pemimpin yang baik.

“Saya reda dengan pemergiannya, tetapi perasaan saya hanya Allah yang tahu. Sebagai suami, arwah seorang lelaki yang baik dan sangat jarang marah.

“Sepanjang hidup dengannya, saya banyak belajar daripadanya. Dia seorang pemimpin yang baik bukan sahaja dalam industri seni, tetapi juga keluarga. Hubungan kekeluargaan kami amat kuat kerana arwah,” luah Fadilah yang akan kembali bekerja semula selepas tamat edah.

Biar hanya empat tahun hidup bersama sejak 25 Disember 2014, iaitu sekitar lebih setahun selepas Azizah meninggal dunia, namun kasih sayang mereka begitu utuh.

Penulis tidak dapat melupakan bagaimana tekad dan segannya arwah ketika diminta berkongsi tentang percintaannya dengan Fadilah sebelum mereka berkahwin. Beliau mengalah dan berkongsi cerita selepas didesak berkali-kali.

Bukan berniat mahu menyembunyikan kisah cintanya, tetapi pada usia senja sepertinya barangkali Allahyarham kekok untuk bercerita kisah cinta seperti selebriti muda

“Saya sudah tua, pelik pula hendak bercakap tentang cinta seperti orang muda. Tetapi cinta bukan untuk orang muda sahaja, ada juga untuk orang tua seperti saya,” katanya sambil ketawa panjang.

Malah, ketika majlis perkahwinannya yang dihadiri ramai artis tempatan tanda beliau disenangi ramai, Allahyarham sempat berseloroh: “Tidak sangka ramai orang hendak datang ke majlis kahwin orang tua macam saya.”

Selain meninggalkan balunya itu, serta dua anak, Khir rahman dan Khairulazmi, kepergian Allahyarham turut meninggalkan lapan orang cucu. Anak kedua Allahyarham, Khairul Ilmi, telah meninggal dunia sebelum ini.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat, Kuala Lumpur.

Terima kasih A. Rahman kerana menyerikan industri hiburan tempatan dengan melodi indah pop yeh yeh yang akan dikenang sampai bila-bila. Nukilan buat A. Rahman Hassan, damailah di negeri abadi. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba yang soleh. Al-Fatihah.

Selepas dua hari koma akibat serangan angin ahmar, penyanyi terkenal era 60-an, Allahyarham Datuk A. Rahman Hassan menghembuskan nafas terakhir pada 12.40 tengah malam semalam.