Biller yang popular dengan drama rantaian popular seperti Beverly Hills dan 90210 telah memilih aktor Antonio Banderas bagi mendukung watak Picasso.

Ikuti temu bual bersama Biller yang disediakan oleh National Geographic berkenaan pengalaman sepanjang menjalani penggambaran drama tersebut bagi musim pertama dan kedua.

KOSMO!: Adakah Genius benar-benar memaparkan kehidupan sebenar Picasso atau sekadar menjadikan beliau sebagai inspirasi umum?

KEN BILLER: Apabila memutuskan untuk menghasilkan Genius, ia suatu tanggungjawab jelas untuk saya selaku pengarah bagi menceritakan hal sebenar tentang Picasso kepada penonton.

Saya mempunyai pasukan penyelidik tersendiri untuk meneliti setiap sudut dan aspek dalam kehidupan Picasso agar jalan cerita kami tidak terpesong.

Matlamat utama drama ini ialah untuk mengenali Picasso secara peribadi dan apa yang berlaku dalam hidupnya.

Kebanyakan daripada kita hanya tahu beliau seorang pelukis hebat dan lukisannya menjadi pujaan, namun tiada siapa yang benar-benar tahu siapa itu Picasso.

Bagaimana pula pengalaman bekerja dengan Antonio Banderas?

Sangat hebat dan ia bukan kerana Banderas seorang pelakon Hollywood popular tetapi kerana komitmen yang diberikan sepanjang memegang watak Picasso.

Banderas merupakan pilihan pertama saya kerana beliau berasal dari Sepanyol dan berharap itu bakal mempengaruhi lakonannya.

Apa yang saya tidak tahu adalah Banderas sebenarnya seorang peminat tegar karya-karya Picasso dan itu membuatkan karakternya lebih hidup.

Sewaktu pertama kali kami bertemu, beliau memberitahu bahawa sudah lama mengidamkan watak ini dan saya dapat lihat beliau bekerja keras bagi memastikan Picasso tidak kelihatan seperti orang biasa.

Kisah ini kebanyakannya bercerita tentang kehidupan peribadi Picasso dan kehadiran beberapa orang wanita yang menjadi inspirasi beliau bila berkarya. Boleh anda ceritakan sedikit tentang wanita tersebut?

Secara jujurnya, kita tidak boleh bercakap tentang Picasso tanpa melibatkan wanita kerana semua tahu, itu merupakan fakta bahawa beliau sangat sukakan wanita cantik.

Namun begitu, menerusi Genius saya cuba untuk memberikan perspektif berbeza penonton bahawa setiap wanita yang bersamanya bukan sahaja menjalin hubungan cinta dengan Picasso, namun membantu beliau dalam menghasilkan lukisan-lukisan agung.

Satu nama wanita paling popular yang dikaitkan dengan Picasso ialah Dora Maar yang menjadi inspirasi utama dalam lukisan popular beliau iaitu Guernica. Namun, Maar hanyalah satu contoh daripada ramai lagi wanita yang berkait rapat dalam hidup Picasso.

Jika Picasso masih wujud pada hari ini, dengan gaya hidup sama, adakah dia akan didakwa atau disiasat pihak berkuasa?

Ya, pasti kerana sewaktu beliau hidup pada zaman 30-an dan dan 40-an dahulu pun, masyarakat tidak menerima sikapnya yang menyendiri, mempunyai pemikiran yang pelik, dingin dan menjalin hubungan sulit dengan ramai wanita.

Namun, tugas kami adalah untuk tidak menghukum Picasso untuk kelemahannya. Kami perlu membuka mata penonton tentang betapa luar biasanya bakat yang ada pada dirinya.

Bolehkah anda terangkan tentang pemilihan lokasi bagi drama ini?

Majoriti lokasi penggambaran kami bertumpu di selatan Perancis, Budapest (Hungary) dan Paris, kota yang mana beliau banyak menghabiskan masa melukis dan mengurung diri bagi mencari inspirasi.

Selain itu, kami turut terbang ke Sepanyol dan menjalani penggambaran di Barcelona iaitu tempat Picasso membesar sewaktu zaman kanak-kanak.

Apa yang boleh saya katakan skala penggambaran Genius sangat besar, bercita-cita tinggi dan kami mencabar diri sendiri untuk menghidupkan Picasso dalam suasana sebenar seperti ratusan tahun dahulu.