Pelantikan itu dibuat sempena ulang tahun ke-20 MPO yang disambut pada tahun ini.

Tengku Irfan berkata, pelantikan tersebut merupakan satu perkara besar yang berlaku dalam hidupnya dan dia cukup teruja serta berbangga menerima pengiktirafan itu dengan tangan yang terbuka.

Malah, dia mahu memainkan peranannya sebagai Duta Remaja MPO untuk mengubah persepsi masyarakat khususnya golongan muda yang selalu bimbang untuk mendekati muzik orkestra dan klasik.

“Hal ini kerana mereka sering berfikiran yang muzik orkestra adalah untuk orang dewasa dan golongan elit sahaja, sedangkan ia terbuka kepada semua orang tidak mengenal usia dan kedudukan.

“Jadi saya sangat berbesar hati dengan pelantikan ini. Saya boleh memainkan peranan penting dalam memupuk minat golongan muda untuk mendekati muzik ini dan jangan takut belajar lebih mendalam tentangnya,” katanya ketika ditemui pada sidang media Ulang Tahun ke-20 MPO di Hotel Traders, baru-baru ini.

 

Pendekatan

Demi mendekati golongan belia dan masyarakat luar, pemain piano berusia 20 tahun itu berharap akan ada lebih banyak langkah diambil bagi mendekati mereka dan menyebarkan tentang keunikan muzik tersebut.

Tengku Irfan turut menyuarakan pandangan untuk mendekati golongan itu di luar dari kawasan dewan persembahan.

“Kita perlu sedar bahawa ada ramai antara mereka yang tidak mampu untuk datang menonton di dewan. Jadi untuk mendekati mereka, kita yang perlu keluar dan memperkenalkan muzik ini kepada lebih ramai orang,” katanya.

Menyelak profil kariernya, pemilik nama penuh Tengku Ahmad Irfan Tengku Shahrizal yang lahir pada 1998 itu pernah membuat persembahan sulung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 2009 ketika baru berusia 11 tahun.

Mula belajar bermain piano seawal usia tujuh tahun, dia yang kini menuntut di Juilliard School, New York, Amerika Syarikat pernah menjuarai pertandingan Aspen Prokofiev Piano Concerto No.2 tahun lalu.

Dia juga pernah menjalin kerjasama dengan beberapa orkestra luar negara seperti Singapore Symphony, Sao Paulo State Youth Orchestra serta Aspen Philharmonic Orchestra selain tokoh orkestra terkenal dunia iaitu Neeme Jarvi, Nikolai Alexeev, Evan Rogister, Claudia Cruz dan Darrell Ang.

Pelantikan Tengku Irfan dilihat sebagai suatu jalinan yang besar kerana ia mampu menghubungkan pengalaman luas yang dimilikinya dan MPO sendiri dalam konteks dunia orkestra.

Melaluinya, dia akan berkongsi pengalaman mengenai perjalanan seni bersama MPO kepada masyarakat, memupuk kesedaran dan minat terhadap muzik klasik serta seni secara keseluruhannya.

Ia selari dengan objektif dan komitmen MPO dalam menyokong bakat anak seni tempatan terutamanya golongan muda.

Selain itu, MPO dan Tengku Irfan turut membuka keraian sambutan ulang tahun ke-20 MPO menerusi penganjuran Konsert Gala MPO yang bakal berlangsung pada 17 Ogos ini bertempat di DFP pada pukul 8.30 malam.

Tiket konsert dijual pada harga RM188 (Premium), RM150, RM122 dan RM94. Sebarang tempahan boleh hubungi talian 03-2311 7007.