Enggan lagi terjerumus dalam fasa mempertahankan hubungan yang tidak pasti atau terlalu menyayangi seseorang, pemilik nama sebenar Ahmad Kamal Ahmad Adli, kini selesa memegang gelaran lelaki solo.

Ujar hero drama Setelah Terlafaznya Akad itu, seiring peningkatan usia dia kini lebih matang dalam membuat pilihan terutama berkaitan soal hati.

“Sekarang saya sedang seronok menjalani kehidupan lelaki solo. Saya tidak mahu terlalu mengejar cinta seseorang atau mudah menjalinkan hubungan.

“Pada usia 33 tahun saya sedar umur semakin meningkat. Saya tidak mahu hubungan cinta hanya melibatkan perasaan dua pihak semata-mata, sebaliknya perlu ada kesefahaman antara satu sama lain,” ujarnya.

Solo

Mengimbau mengenai kisah cintanya yang terkandas, Kamal menegaskan dia sememangnya serius setiap kali menjalinkan hubungan.

Jauh sekali menganggap setiap wanita yang pernah beraja dalam hatinya sekadar mengisi masa dan kekosongan hati, jelas Kamal setiap hubungan cintanya berlanjutan sekitar empat dan enam enam tahun.

Akur dengan takdir setiap hubungan tersebut tidak berakhir ke jinjang pelamin, Kamal tidak pernah meletakkan kesalahan kepada bekas kekasihnya.

“Saya tidak pernah merasa solo. Saya seseorang yang sentiasa mahu mempunyai pasangan. Setiap kali berpisah saya berani untuk mencuba menjalinkan hubungan baharu. Malangnya pada ketika itu saya tidak matang.

“Saya meletakkan cinta sebagai prioriti sehingga melupakan impak hubungan tersebut terhadap kerjaya. Bagi saya, cinta adalah segala-galanya. Itu khilaf saya,” luahnya.

Yakin dirinya kini telah matang, Kamal selesa supaya hubungan tersebut hadir sendiri tanpa perlu dicari.

Menafikan dirinya serik untuk bercinta lagi, pelakon filem Abang Long Fadil itu dambakan tempoh bertenang untuk seketika.

“Saya kembali solo sejak beberapa bulan yang lalu dan hasilnya, saya lebih fokus terhadap kerjaya. Jika ada (kekasih), saya bersyukur,” tuturnya yang meletakkan titik noktah terhadap topik hati.

Fenomena

Sedekad berada dalam industri, baharu kini Kamal merasai kemanisan berada di puncak populariti.

Kejayaan itu gara-gara lakonan berkesannya sebagai Hanan menerusi drama Setelah Terlafaznya Akad gandingan bersama Uqasha Senrose yang menjayakan watak sebagai Nawal.

Impak lakonan tersebut dapat dirasai oleh Kamal apabila peminatnya kini mula menggelarnya sebagai Hanan walaupun ada ketika akaun Instagramnya dihujani kecaman netizen dalam ruangan komen.

Jelas Kamal, dia tidak pernah sangka drama tersebut mampu mencipta fenomena kerana sepanjang proses penggambaran dia khuatir dengan penerimaan peminat.

“Saya terkejut drama tersebut menerima sambutan baik daripada peminat. Saya tidak pernah sangka pengaruh drama berkenaan kuat.

“Drama Setelah Terlafaznya Akad agak panjang iaitu sebanyak 28 episod. Saya khuatir pada pertengahan episod peminat lari atau bosan. Alhamdulillah, setiap episod drama tersebut menjadi sohor dalam pelbagai platform media sosial,” jelasnya.

Mengulas mengenai kunci kejayaan drama yang telah tamat siarannya pada 1 Ogos lalu, Kamal berkata gandingannya dengan Uqasha menzahirkan keserasian yang berkesan.

“Saya dah Sha (Uqasha) telah lama berkenalan sebagai rakan artis. Jadi, saya cukup selesa bergandingan dengan Sha.

“Mungkin sebab itu, kami begitu serasi dalam drama. Saya akui, sepanjang tempoh tayangan drama tersebut ada ketika saya dibenci. Tetapi tidak mengapa kerana kebencian mereka (penonton) membawa maksud lakonan kami berjaya,” katanya.

Populariti

Tambahnya, wujud permintaan untuk mereka digandingkan kembali. Bagaimanapun tegas Kamal, dia masih berpegang pada prinsip untuk memilih naskhah yang berkualiti.

“Sudah tentu jika ada pihak televisyen mahu menggandingkan kami berdua, saya menerima tawaran tersebut dengan hati yang terbuka.

“Biarpun begitu, saya dan Sha berpendapat, kami tidak mahu penampilan tersebut sebagai sekadar memenuhi permintaan umum. Keutamaan menerima sebarang projek tetap terletak pada kekuatan skrip,” ujarnya.

Ketika ditebak mengenai kemanisan menggengam populariti sejurus kejayaan drama Setelah Terlafaznya Akad, Kamal sekadar tersenyum.

“Saya sudah biasa berada dalam kelompok yang tidak popular. Saya sudah cukup bersyukur sekiranya nama Kamal Adli masih ada dalam industri.

“Tiada istilah mengejar populariti. Saya hanya mahu bertahan dan berada dalam liga ini,” katanya menutup bicara.

Beberapa kali gagal dalam percintaan, Kamal kini memilih untuk berehat seketika daripada menjalinkan hubungan cinta. Selesa menggalas gelaran lelaki solo, Kamal enggan memikirkan soal hati, sebaliknya memberi fokus terhadap karier seni.