Berpeluang bekerja bawah telunjuk sutradara wanita tersohor itu juga disifatkan Janna dan Syafiq sebagai anugerah besar, namun dalam masa sama tidak menafikan banyak ruang perlu diisi mereka untuk layak digelar pelakon teater.

“Sama ada diberi tekanan atau saya yang memberi tekanan kepada orang lain, situasi berkenaan harus saya tangani bagi menjayakan peranan dalam teater ini.

“Saya akan cuba sebaik mungkin namun saya tidak nafikan teater ini adalah naskhah yang paling mencabar dalam kerjaya seni saya,” kata Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 24. yang diberi kepercayaan membawakan watak Permaisuri Isabella dalam teater berkenaan.

Bersilat

Mengulas tentang cabaran menghidupkan watak sebagai Permaisuri Isabella, cabaran semakin menjadi getir apabila selepas lima hari menyertai latihan, Erma memintanya agar menari bagi memenuhi tuntutan karakter.

“Saya tiada masalah dengan skrip kerana memang jenis yang suka menghafal, namun tekanan hebat dirasakan apabila memasuki hari kelima latihan.

“Erma meminta saya bukan sahaja untuk menari malah bersilat. Saya sangat terkejut. Untuk menghadam elemen kejutan seperti ini agak memakan masa.

“Saya terduduk, menangis dan sakit kepala memikirkan tentang hal itu. Saya memang tidak boleh menari dan apatah lagi bersilat.

“Waktu sekolah dahulu saya terlibat dalam sukan taekwondo dan muay Thai, namun bersilat memang saya tidak pernah. Mujur saya mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih sepanjang sesi latihan. Sekarang kesediaan saya menari dan bersilat berada pada tahap 50 peratus,” ujarnya panjang lebar.

Seperti pawana yang melanda, jiwanya dihembus perasaan tidak stabil disebabkan komitmen teater berkenaan. Untuk memastikan keadaan tidak meruntuhkan mengganggu emosi, Janna turut berbincang dengan pengarah untuk mengurangkan tekanan.

“Saya ada suarakan pendapat, namun Erma tetap dengan pendiriannya. Saya sudah menerima tawaran ini, jadi saya harus habiskan dan melakukan yang terbaik.

“Lagipun, peluang bekerja dengan beliau bukan datang selalu. Bekerja dengannya, akan menjadikan saya seorang pelakon yang lebih berkualiti pada masa akan datang. Insya-Allah,” ungkapnya.

Bekerja pertama kali dengan Syafiq di pentas teater, Janna juga tidak mempunyai masalah untuk mencapai keselesaan dengan pelakon tampan itu. Mereka bahkan bersatu ‘angin’ untuk sama-sama memberikan hasil cemerlang.

“Saya tiada masalah dengan Syafiq, dengan pelakon lain pun sama.

Namun, apa yang seronoknya apabila melihat Johan Raja Lawak tidak dibenarkan membuat lawak dalam teater ini. Anda sendiri tidak boleh bayangkan bagaimana kalau Johan tanpa lawaknya dalam sesuatu naskhah.

“Senang cerita, dalam tempoh sebulan ini, hidup dan matiku di Istana Budaya (tertawa),” kata Janna.

Dialog

Berbeza dengan Janna, Syafiq atau nama sebenarnya, Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak, 27, menjelaskan cabaran paling besar untuknya adalah tuntutan menghafal dialog.

Katanya: “Cabaran besar buat menghafal dan melontarkan dialog. Teater ini adalah sebuah pementasan fiksyen yang penggunaan bahasanya ‘dirajakan’ atau menggunakan bahasa istana.

“Mujur kepayahan saya tidak seperti Janna yang perlu menari dan bersilat. Saya rasa Janna tiada masalah untuk menghafal dialog kerana itu memang kepakaran dia.”

Ditanya tentang rujukan yang dilakukan untuk menjayakan watak Raja Al-Hasiq Ghibran, sebagai seorang yang masih lagi bertatih dalam dunia teater, Syafiq hanya fokus terhadap sesi latihan.

“Saya tidak menjadikan sesuatu watak yang pernah dijayakan pelakon lain sebagai rujukan. Rasanya, saya belum sampai ke tahap itu.

“Namun, saya banyak tengok filem seperti Puteri Gunung Ledang dan The Last Samurai untuk mengisi jiwa sebelum turun ke sesi latihan.

“Dalam pada itu, saya ada juga belajar melalui video-video pementasan teater dalam YouTube untuk memahirkan diri dengan perihal lontaran dialog dan sebagainya,” kata Syafiq.

Bekerja di bawah arahan Erma Fatima, Syafiq sememangnya sangat mengagumi corak pengarahan wanita itu.

“Erma adalah seorang yang sangat berpengalaman di pentas teater. Dia tidak mendedahkan skrip sewaktu memberi tawaran.

“Saya rasa kalau dia buat begitu, ramai yang akan tarik diri sebelum sesi latihan dan kebanyakan pelakon yang ada sekarang, tidak akan berada dalam senarai.

“Ya, sangat mencabar bekerja dengannya namun saya ambil ini sebagai proses pembelajaran yang berguna untuk mengasah bakat lakonan pada paras lebih tinggi,” ujar Syafiq.

Pawana Isabella bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 21 Ogos hingga 31 Ogos ini.

Teater arahan Erma Fatima tersebut turut menampilkan membariskan bintang-bintang popular antaranya Azar Azmi, Johan Raja Lawak, Ozlynn Waty, Datuk Afdlin Shauki, Datin Paduka Umie Aida, Datuk Ziela Jalil, Shahronizam Noor, Jay Iswazir dan Anas Ridzuan.

Tiket boleh didapati di kaunter Box-Office Istana Budaya pada harga RM48 hingga RM188.

Menyatukan impian untuk meningkatkan lakonan ke tahap lebih tinggi, Pawana Isabella menjadi gelanggang temu Janna Nick dan Syafiq Kyle yang pertama kali beraksi sebagai pelakon teater di Istana Budaya bermula 21 Ogos hingga 31 Ogos ini.