Merujuk kepada laporan Kosmo! semalam, ibu tiri Syafiq, Julia Bachok menegaskan Syafiq melalui seorang rakannya sudah pun menyatakan persetujuan untuk menyertai jelajah konsert mini yang dianjurkan sebagai penghargaan buat Allahyarham yang dikenali umum sebagai bekas vokalis Iklim.

Ditemui ketika Anugerah MeleTOP Era (AME 2019) baru-baru ini, Syafiq tidak memberi sebarang kata putus berhubung pelawaan Julia untuk terbabit sama dalam jelajah konsert mini yang dijangka berlangsung di beberapa lokasi seluruh tanah air dan Indonesia selepas Syawal tahun tersebut.

Biarpun mendakwa tidak mempunyai sebarang masalah dengan Julia, pemilik nama sebenar Nursyafiq Farhain A.M. Salim itu jelas tidak selesa apabila berterusan diajukan persoalan tentang kesudiannya untuk turut menyumbangkan suara pada konsert mini yang menjadi impian terakhir arwah bapanya itu.

Ikuti sedutan temu bual Kosmo! bersama Syafiq yang turut menjelaskan kenapa dia kelihatan tidak selesa sepanjang wawancara tersebut berlansung.

KOSMO!: Adakah anda akan terbabit dalam konsert mini Showcase Supernova of The Legendary S sebagaimana yang diperkatakan ibu tiri anda, Julia Bachok?

SYAFIQ FARHAIN: Saya belum menerima sebarang jemputan daripada beliau (Julia Bachok). Saya akui ada menerima tawaran berkaitan sebuah persembahan tetapi tawaran itu senyap begitu sahaja.

Saya juga tidak diberitahu atau dimaklumkan mengenai sebarang jemputan secara peribadi daripada beliau. Sejujurnya saya tidak tahu apa-apa.

Adakah anda tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai jelajah konsert mini jelajah tersebut?

Saya tidak tahu mengenai kewujudan pelawaan daripada beliau. Apa yang saya tahu, Amirul (anak bongsu Saleem) akan bermain dram dalam persembahan tersebut.

Seperti saya terangkan sebentar tadi, saya ada menerima tawaran persembahan tetapi bukan daripada beliau sendiri.

Adakah anda mahu bekerjasama dalam jelajah konsert mini berkenaan?

Saya tidak mempunyai kata putus dalam hal berkaitan persembahan. Segala urusan persembahan pentas saya serahkan kepada pihak syarikat rakaman kerana saya bernaung bawah syarikat berkenaan.

Jika syarikat bersetuju untuk saya terlibat dalam jelajah konsert mini berkenaan, insya-Allah, saya tidak mempunyai sebarang halangan. Cuma, saya tidak boleh membuat keputusan sendiri.

Secara peribadinya, adakah anda sudi menerima pelawaan tersebut?

Saya perlu tekankan di sini bahawa saya tidak mempunyai masalah dengan beliau. Jadi, tiada istilah berdamai dalam perhubungan antara kami berdua.

Saya juga tidak mahu mencampuri sebarang urusan peribadi berkaitan kehidupan beliau.

Berkaitan penampilan dalam konsert mini berkenaan, saya perlu membuat penilaian rapi. Sekiranya mendatangkan kebaikan saya terima, jika sebaliknya maka saya enggan terima.

Mengapakah anda sukar untuk memberikan kata putus sedangkan jelajah konsert mini berkenaan merupakan impian arwah bapa anda?

Saya tidak boleh membuat keputusan sendiri. Isunya di sini saya tidak menerima tawaran daripada beliau. Saya umpamakan pelawaan itu seperti perkahwinan. Kalau anda ingin berkahwin, adakah anda akan memberitahu hasrat itu kepada rakan? Sudah tentu dimaklumkan kepada tuan punya badan.

Anda kelihatan tidak selesa sepanjang wawancara ini. Sejujurnya, adakah anda akan terima pelawaan tersebut?

(Lama mendiamkan diri) Begini, saya tidak mempunyai masalah secara peribadi dengan beliau (Julia). Tetapi untuk bekerjasama, saya perlu fikirkan terlebih dahulu.