Mengakui masih menerima tawaran untuk berlakon di negara republik berkenaan, namun haluannya kini berbeza. Hujan emas di negeri orang ternyata bukan lagi fokus buat Keith.

“Saya selesa untuk berlakon di negara sendiri kerana masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan keinginan untuk terus berkarya. Dunia seni itu tidak mempunyai batas.

“Saya masih menerima tawaran berlakon di Indonesia, namun terpaksa ditolak kerana kekangan masa,” kata Keith sambil tersenyum seraya menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.

Tidak bermaksud dia kini lupa diri atau melupakan tempat memulakan karier pada usia muda, Keith sebenarnya enggan dilabelkan sebagai tamak. Dia lebih senang melihat kerjayanya mengalir di negara kelahirannya.

Terus gigih berusaha mencipta nama dalam lapangan seni tempatan, Keith mengakui dirinya masih mentah dan lebih dikenali sebagai pendatang baharu.

Biarpun menerima watak yang sama berulang kali, lelaki kelahiran Negeri Sembilan itu tetap akur, bahkan tidak sedikit pun wujud tanggapan stereotaip dalam dirinya.

Baginya, perkara itu bukan suatu persoalan membataskan bakat lakonan. Tawaran watak hampir sama juga bukan kayu ukur membuktikan kemampuan menterjemahkan watak ke layar perak mahupun kaca televisyen.

“Pasti ada alasan kukuh mengapa seseorang pelakon itu sering diberikan watak sama. Mungkin dengan cara itu penggiat seni dan peminat boleh melihat kemampuan mereka.

“Bagi saya tidak timbul masalah untuk melakonkan watak sama, bahkan ia dapat memberi peluang menjadi lebih kreatif bagi mewujudkan kelainan,” tutur Keith bersahaja.

Saingan sihat

Menjawab persoalan mengapa wajahnya kini kurang terlihat di kaca televisyen, beritahu Keith, beberapa buah drama dan sebuah program dokumentari yang melibatkan namanya kini hanya menanti tarikh tayangan.

“Selepas pulang daripada bercuti tahun lalu, saya sibuk menjalani penggambaran beberapa buah drama. Namun, buat masa sekarang, saya masih tidak tahu bila ia akan ditayangkan,” kata pelakon drama Jom Kahwin yang kini bersiaran menerusi saluran HyppTV tersebut.

Bukan sahaja mengamalkan sikap terbuka dalam kerjaya lakonan, Keith turut tidak terkesan dengan kebanjiran wajah-wajah baharu yang kini kian menghiasi slot utama di televisyen.

Pernah suatu ketika, situasi sama berlaku kepada diri aktor filem Langit Cinta itu pada saat awal kemunculannya dahulu.

“Kehadiran wajah baharu merupakan satu perkara yang biasa berlaku biarpun dalam industri hiburan, sama ada lakonan atau nyanyian.

“Itu merupakan persaingan sihat kerana mereka menjadi pelapis, jadi situasi tersebut tidak wajar dijadikan isu besar kerana ia akan menjadi tembok pemisah antara pelakon baharu dan lama,” terang Keith panjang lebar.

Pentas teater

Tidak melihat adanya jurang pemisah antara lama dan baharu, Keith mengamalkan sikap saling menghormati antara satu sama lain. Jika diukur mengikut pengalaman, pastinya pelakon senior lebih masak dengan sepak terajang dunia seni.

“Gabungan antara pelakon baharu dan lama sedikit sebanyak dapat memberi peluang untuk sama-sama mempelajari teknik lakonan selain saling bertukar pendapat,” jelasnya.

Seiring dengan perjalanan kerjaya seninya, Keith kini giat mengatur langkah demi mengukuhkan portfolio sebagai pelakon serba boleh.

Pertama kali menjejakkan kaki ke pentas teater, Keith mengakui wujud rasa getar di hatinya saat menerima tawaran berlakon pementasan teater Ombak Rindu di Istana Budaya bermula 22 April hingga 1 Mei.

Dia merasakan dirinya masih terlalu kecil untuk berdiri di atas pentas berprestij, sementelah peluang tersebut pastinya menjadi dambaan ramai pelakon untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri seni.

“Rasa gugup itu tidak dapat dinafikan kerana ini adalah percubaan pertama saya berlakon teater. Namun berbekalkan latihan yang cukup, diharapkan segalanya berjalan lancar.

“Awalnya saya sendiri meragui kemampuan diri, namun selepas diyakinkan pihak produksi, saya anggap komitmen ini sebagai cabaran,” jelasnya yang bakal membawa watak utama iaitu Hariz.

Berusaha untuk mewujudkan keserasian dengan gandingannya, Uqasha Senrose yang membawakan watak sebagai Izzah, Keith tidak merasa penyatuan mereka satu masalah, sementelah pernah dijodohkan' dalam drama Dia Isteri Luar Biasa.

Tiada perancangan

Bagaimanapun, Keith tetap mematuhi batas dan menghormati Uqasha sebagai seorang wanita Muslim apatah lagi kini telah berhijab.

Berusaha mengelakkan diri daripada kontroversi, Keith enggan lakonannya kelak menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penonton.

“Perkara paling penting kami berdua tahu akan batas lakonan agar tidak keterlaluan,” katanya.

Asyik berbicara soal kerjaya, Keith sesekali dilihat menjeling ke arah jam tangan yang dipakainya. Barangkali kepadatan jadual kerja menjadikan lelaki berbintang Sagitarius itu sangat mementingkan ketepatan masa.

Tidak terlepas daripada soal peribadi, Keith hanya melepaskan ketawa kecil saat disoal tentang kehadiran orang baharu dalam kehidupannya dengan isteri, Kim Raymond.

Menafikan dia dan isteri merancang dalam soal cahaya mata, Keith sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada urusan Tuhan.

“Kami tidak pernah membuat perancangan tentang memiliki anak.

“Sekiranya memang ditakdirkan saya akan bergelar bapa dalam tempoh terdekat, kami suami isteri menerima dengan hati terbuka. Hidup pastinya lebih meriah dengan kehadiran si kecil nanti,” kata Keith dalam nada teruja.

Masih menanti anugerah tersebut Keith dan isteri bagaimanapun tidak terlalu terdesak untuk mempunyai anak dalam tempoh waktu terdekat. Baginya, rezeki setiap individu berbeza-beza. Bukan sahaja soal anak, bahkan mencakupi soal perhubungan dan naik turun dalam karier.