Tam atau nama sebenarnya, Rustam Mustafa, 44, berkata, dia ingin mencari protege versatil dan mampu menyanyi genre muzik yang bersifat pelbagai. Tambahnya, dia bersedia untuk menurunkan ilmu dalam dunia seni tanah air dan bakal protegenya nanti mempunyai semangat yang jitu untuk bergelar artis.

Dalam pada itu, mengulas tentang perkembangan seni terbaharu, pelantun lagu Relaku Pujuk itu akur dengan kehendak muzik sekarang yang memihak kepada genre muzik 1990-an atau 1980-an. Walaupun nampak seperti Spider sudah tidak lagi dijulang sama seperti zaman kegemilangan suatu ketika dahulu, Tam optimis untuk terus berkecimpung dalam dunia muzik tempatan.

Kongsinya, dia tidak berkecil hati apabila album Spider yang dilancarkan tahun lalu berjudul Ankabut tidak mendapat sambutan dalam kalangan peminat.

Akur dengan nuansa muzik masa kini yang lebih mencabar dengan banyak pembaharuan, dia tidak pernah mengalah selagi mempunyai idea dan kudrat untuk berkarya.

Tahun ini, Tam merancang menghasilkan projek nyanyian solo yang mendapat sokongan penuh daripada anggota Spider yang lain. Menafikan kumpulan itu bergolak, Tam mempunyai cerita tersendiri mengenai projek solo tersebut.

KOSMO!: Lama sebenarnya Tam hanya bekerja di belakang tabir, apa perkembangan terbaharu untuk Spider dan anda sendiri?

Tam: Spider keluar dengan album berjudul Ankabot namun tidak mendapat publisiti atau saya kira, ia tidak ditonjolkan dengan baik. Spider masih lagi aktif cuma masing-masing mempunyai komitmen sendiri. Saya pun akur ingin menjual album sekarang bukan masa yang sesuai kerana ini zaman digital. Saya mempunyai rancangan untuk muncul dengan projek solo tidak lama lagi.

Barangkali ada yang memberi spekulasi sebab anda ingin muncul dengan projek solo kerana mempunyai masalah dengan kumpulan. Apa komen anda?

Tidaklah. Spider masih aktif. Sebenarnya, sudah lama kawan-kawan dalam Spider menyuruh saya melakukan projek solo. Sebelum Ankabot dilancarkan memang sudah ada perancangan untuk saya memberi laluan kepada projek solo namun, kata hati saya ingin buat projek dengan Spider terlebih dahulu. Tiada istilah bergaduh dan ahli Spider yang lain pun mempunyai komitmen lain. Mereka menyokong untuk saya mempunyai projek solo.

Boleh perincikan tentang projek solo tersebut?

Saya harus akur, untuk mengeluarkan album penuh memang sukar pada zaman sekarang. Mahu buat memang senang tetapi mengharapkan sambutan yang baik seperti dulu, sukar kerana sekarang semuanya bergerak ke arah digital.

Jadi perancangan saya untuk projek solo adalah dengan melancarkan single terlebih dahulu. Material sudah ada cuma sedang pilih mana yang terbaik dan ingin dirakam di studio.

Baiklah, apa pendapat anda dengan trend muzik sekarang yang seperti kembali semula kepada era 1990-an?

Muzik sama seperti fesyen. Saya menyambut baik penyanyi-penyanyi yang bikin lagu seperti itu. Itu rezeki mereka andai lagu yang disampaikan mendapat tempat di hati peminat. Untuk saya dan Spider, kami mempunyai identiti muzik sendiri. Kalau ditanya saya ingin mengubah signatur muzik hanya kerana ingin mendapat tempat dalam kalangan penonton, rasanya itu bukan saya atau Spider.

Kami tetap melakukan bunyi muzik yang sama. Kalau diubah sekalipun, tidaklah tersasar jauh daripada identiti asal.

Bercakap tentang tugas sebagai mentor dalam Mentor Otai, anda mencari protege yang bagaimana?

Mengikut peredaran zaman, saya tidak berapa tahu sangat tentang kemunculan bakat-bakat baharu sekarang. Kalau ada bakat tetapi personaliti kosong pun sukar untuk dijual. Apa yang saya cari adalah mereka yang mempunyai versatiliti unik. Kalau pandai bermain muzik, itu satu bonus buat saya.

Apakah pendekatan yang akan digunakan untuk mendidik bakal protege nanti?

Saya akan memberikan yang terbaik untuk beri ilmu kepada bakal protege. Saya akan bersikap tegas untuk menghasilkan bakat atau produk yang bagus. Kalau ingin berjaya, perlu dilentur dengan sebaik mungkin dan itu yang saya akan lakukan. Insya-Allah.