Tanggapan tersebut disebabkan keakraban Osman dalam menggarap filem-filem bergenre drama dan cinta seperti Ombak Rindu, Pilot Cafe, Langit Cinta dan Kau Yang Satu.

Biarpun masih berlingkar dalam tema serupa, kali ini Osman dilihat cuba menterjemahkan sebuah kisah cinta yang didasari kemelut kehidupan dan takdir Tuhan.

Menghidupkan kisah cinta Naufal dan Laila Safitri dalam sebuah insiden yang tidak terduga, Osman memberikan ruang buat penonton untuk merasai kemanisan hubungan cinta dua karakter yang dimainkan oleh Shaheizy Sam dan Ayda Jebat itu.

Keutuhan cinta mereka akhirnya goyah tatkala keadaan kesihatan Laila yang ketika itu menghidap kanser mulai merosot. Pada masa yang sama, Naufal menghilangkan diri sehingga menyebabkan Laila bernikah dengan Doktor Hasnan (Farid Kamil), doktor pakar yang bertanggungjawab merawatnya.

Jika dilihat pada pengolahan cerita, tiada watak antagonis yang diwujudkan dalam Pinjamkan Hatiku. Hal ini kerana, watak antagonis yang cuba diwujudkan oleh Osman dalam filem berkenaan ditopengkan oleh beliau menerusi percaturan kehidupan manusia yang tidak pernah lekang dengan dugaan dan cubaan.

Beralih kepada dua bintang utama yang menerajui Pinjamkan Hatiku, kedua-duanya memberikan persembahan luar biasa dalam menghayati watak masing-masing.

Sam tidak berlakon dengan jiwa yang kosong. Sebagaimana dia membuatkan Laila jatuh suka kepada Naufal di layar lebar, begitu juga penonton yang turut jatuh hati kepada keikhlasan cintanya.

Begitu juga sewaktu Naufal yang digambarkan pengarah sedang menderita sakit dan pada masa sama merindui Laila. Sam dilihat begitu komited sehingga sanggup mengurangkan berat badan untuk tampil kurus dan tidak bermaya.

Fasa peralihan kesihatan Naufal berjaya ditangani oleh Sam tanpa sebarang cacat cela. Dari segi emosi mahupun penampilan, Naufal berjaya direalisasikan dengan cemerlang. Tidak mustahil watak tersebut mampu melayakkannya tercalon untuk menerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia akan datang.

Penglibatan Ayda menerusi naskhah filem pertamanya juga perlu diberikan kredit. Biarpun selalu menjayakan watak-watak ringan menerusi drama bercorak komedi, Laila Safitri terjemahan Ayda boleh dikira berjaya.

Menyentuh mengenai sinematografi, Pinjamkan Hatiku memberikan tanggapan kedua buat anda yang tidak pernah tahu tentang lokasi-lokasi cantik di Malaysia.

Air Terjun Pelangi yang terletak di Pahang sebagai contoh dijadikan lokasi utama penggambaran. Pemilihan tempat yang cantik bukan sahaja memberi nuansa berbeza terhadap karya, malah menjadikan filem ini sedikit berbeza daripada filem-filem tempatan yang lain.

Secara keseluruhan, Pinjamkan Hatiku merupakan sebuah naskhah filem yang sederhana. Sungguhpun tidak terlalu keterlaluan dari segi perkembangan plot dan penceritaan, naskhah tersebut turut membariskan lakonan berkesan pelakon lain seperti Lia Natalia yang membawakan watak Latifah, Azizah Mahzan (Nek Seri) dan Normah Damanhuri (Mak Besah).