Jamal, 60, berkata, idea untuk menamakan bayi sulung hasil perkahwinan bersama Datin Zai Izzati Khiruddin itu sempena filem dan judul lagu popularnya, Azura.

Kekerapan menyanyikan lagu berkenaan atas permintaan peminat juga mencetuskan idea berkenaan.

“Saya rasa nama Azura terlalu dekat dengan saya. Memandangkan jantina bayi yang sedang dikandung isteri ialah anak perempuan, jadi saya mengambil keputusan untuk menamakannya sebagai Azura.

“Isteri juga suka dengan cadangan itu malah sejak beberapa bulan kebelakangan ini, saya sering memanggil anak dalam perut dengan nama Azura dan dia memberi respons menerusi tendangan-tendangan kecil,” kongsi Jamal usai pelancaran single Belenggu Rindu duet bersama Wany Hasrita di Suka Sucre Bistro, Cheras, sebentar tadi.

Pelantun Kekasih Awal Dan Akhir itu turut berasa sangat berdebar menanti kelahiran anak ketiganya kerana pertama kali akan menyambut anak perempuan.

“Dua anak saya sebelum ini lelaki jadi apabila hendak menimang anak perempuan, perasaannya lain macam.

“Saya bimbang kerana tidak tahu apa yang hendak dijangka apabila membesarkan anak perempuan,” jelas Jamal.

Jamal mendirikan rumah tangga bersama Zai pada 1 April 2017 di Ipoh, Perak. Terdahulu, Jamal pernah berkahwin sebanyak tiga kali bersama Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd. Yusof dan Fatimatuzahrah Samad.

Namun, ketiga-tiga perkahwinan tersebut berakhir dengan perceraian. Menerusi perkahwinan terdahulu, Jamal dikurniakan dua anak lelaki iaitu Osama Yamani yang kini berusia 18 tahun dan Ahmad Zaki Yamani, 12. - K! ONLINE