Hakikatnya, pemilik nama lengkap Nur Syifa Athirah Amirol Melvin itu meraih pengikut hampir setengah juta dalam Instagram kerana usaha dan kegigihannya berkongsi pelbagai informasi mengenai dunia kecantikan.

“Sejujurnya, status sebagai adik Syatilla Melvin sukar dibuang. Sehingga kini, masih ramai yang keliru memandangkan wajah kami hampir serupa.

“Jadi, untuk menjauhi bayang-bayang kakak sendiri, saya cuba meneroka bidang lain dengan membina nama dalam Instagram dan menawarkan kandungan tentang kecantikan serta gaya hidup,” ujar Syifa membuka bicara.

Pernah bergelar jurusolek profesional dengan mengambil upah menyolek pengantin sekitar dua tahun lalu, Syifa berkongsi kemahiran tersebut dengan pengikutnya dalam Instagram.

“Ramai yang menyukai sentuhan solekan saya. Jadi, atas permintaan ramai, saya kerap memuat naik video solekan dalam Instagram. Dari situ, pengikut mula bertambah,” katanya.

Selain diberi kepercayaan untuk membuat ulasan produk kecantikan, Syifa kerap mengelolakan tutorial mekap secara langsung menerusi laman Instagramnya.

Menurut pemegang Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Segi itu, banyak perkara yang dibicarakan ketika bersiaran secara langsung dalam Instagram termasuklah jenis barangan solek yang digunakan dan rutin kecantikan harian.

Bagaimanapun, Syifa sedar bahawa dirinya tidak setanding guru kecantikan profesional lain yang mungkin mampu memberikan nasihat lebih baik kepada orang ramai.

“Saya sendiri berasa tidak layak untuk memberi nasihat perihal penjagaan wajah. Tetapi, mungkin pengikut berasa dekat dengan saya dan sering bertanya tentang permasalahan kulit yang mereka hadapi dan meminta saya memberi cadangan produk untuk digunakan.

“Jika sesuatu produk yang saya gunakan berhasil, saya akan cadangkan kepada mereka,” katanya lagi.

Menyentuh mengenai kerjayanya sebagai jurusolek profesional, Syifa berkata, ramai yang bertanya sama ada dia masih lagi aktif menyolek.

Namun, disebabkan jadual yang padat sejak menjadikan selebriti Instagram (influencer) sebagai kerjaya sepenuh masa, Syifa terpaksa beralih fokus.

“Memang saya amat rindukan momen sewaktu bergelar jurusolek. Cuma, saya tidak boleh fokus apabila mula bergelar selebriti Instagram.

“Maklumlah, apabila bergelar jurusolek saya pergi ke merata tempat mengikut lokasi pelanggan. Saya ada merancang untuk mengadakan bengkel solekan bagi mengubat rindu, tetapi bukanlah dalam masa terdekat,” ujar Syifa yang pernah berpeluang menyolek model terkemuka, Amber Chia selain kakaknya sendiri.

Kualiti

Melanjutkan bicara mengenai dunia media sosial, Syifa diajukan dengan soalan berkenaan kualiti dan pengaruh positif yang mampu diberikan oleh selebriti Instagram.

Menurut Syifa, setiap individu yang ingin bergelar selebriti Instagram perlu berfikiran luas dan mempunyai minat untuk berkongsi informasi bermanfaat bersama pengikut.

“Hari ini media sosial memainkan peranan yang besar dalam hidup seharian. Walaupun kewujudannya memberi impak positif, tetapi turut mampu memberi kesan negatif kepada pengguna.

“Justeru, jika ada yang ingin menjadikan Instagram sebagai platform kerjaya, bina nama secara positif dengan menyediakan kandungan berguna. Jangan lakukan perkara yang mengaibkan semata-mata untuk popular. Begitu cepat anda meraih populariti, cepat juga anda boleh jatuh,” tegas Syifa.

Bagaimanapun, Syifa menyedari bahawa gelaran selebriti Instagram tidak kekal lama.

“Jangka hayat sebagai selebriti Instagram boleh dikekalkan jika kita bijak membuka cabang kandungan kepada kelompok pengikut lain. Sebagai contoh, saya kini sering memberi nasihat kepada pengikut walaupun pada asasnya, Instagram saya tertumpu pada bidang kecantikan.

“Namun, sebanyak mana berusaha untuk mengekalkan nama, lambat laun pasti akan ada selebriti Instagram lain yang akan menggantikan tempat kita. Jadi, bermula daripada sekarang, saya sudah mula berfikir untuk melangkah ke bidang lakonan bagi mencuba sesuatu yang baharu,” katanya jujur.

Menurut Syifa, dia mula serius untuk mengukir nama sebagai pelakon selepas terlibat dengan siri mini #SisCuba yang disiarkan pada tahun lalu.

“Sebenarnya, saya kerap menerima tawaran lakonan. Tetapi, ada beberapa perkara yang berlaku menyebabkan saya terpaksa menolak tawaran-tawaran tersebut.

“Jadi, selepas terlibat dengan #SisCuba, saya fikir sudah tiba masanya untuk terjun ke bidang lakonan dan fokus seratus peratus terhadap cabang seni baharu,” ujarnya.

Syifa beruntung kerana niatnya untuk menceburi bidang lakonan secara serius mendapat sokongan yang sangat padu daripada Syatilla.

“Cuma, kakak ada berpesan supaya tidak mengambil mudah apabila sudah bergelar pelakon. Dia juga menasihati saya supaya sentiasa merendah diri dan menghormati orang lain,” tutur Syifa sambil tersenyum.

Syifa Melvin menguak pintu seni dengan menceburi bidang lakonan selepas berjaya mengukuhkan nama sebagai selebriti Instagram.