Pasangan yang mula menjalin hubungan cinta sejak tahun lepas itu memilih tema taman untuk majlis pertunangan mereka yang dihadiri seramai 200 tetamu terdiri daripada kaum keluarga dan rakan-rakan. 

Bagaimanapun tarikh majlis pernikahan mereka belum diputuskan, namun ia dijangka akan berlangsung pada tahun ini. 

Teruja kerana selamat bergelar tunangan orang, Syafie atau nama lengkapnya Mohammad Syafie Naswip berkata, dia bersyukur kerana majlis yang dirancang tiga bulan lalu berjalan dengan lancar. 

“Sebenarnya ibu saya yang minta supaya majlis pertunangan kami diadakan segera. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.  

“Cuma keluarga kedua-dua belah pihak belum putuskan tarikh majlis. Memandangkan banyak dokumen perlu diuruskan termasuk lokasi majlis. Insya-allah ia akan dilangsung tahun ini juga,” ujarnya ketika ditemui usai majlis pertunangannya sebentar tadi. 

Pada majlis itu Syafie, 27, memberi lima dulang hantaran dan dibalas sebanyak lima dulang oleh pihak perempuan yang kesemuanya berupa manisan. 

Aishah, 23, yang menyarung busana berona biru muda rekaan Zamri Mat turut menerima sebentuk cincin tanda pertunangan daripada ibu Syafie, Noorsiah Ahmad. - K! ONLINE